Datuk Ngwe Hee Sem

MELAKA – Kira-kira 2,000 ketua isi rumah (KIR) orang asli yang bekerja sendiri di 14 penempatan seluruh negeri ini dicadang mendapat skim perlindungan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Ngwe Hee Sem berkata, buat permulaan caruman di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) itu dicadangkan kepada suami atau ketua keluarga berkenaan.

Menurutnya, langkah itu susulan banyak kejadian ketua isi rumah (KIR) orang asli di negeri ini yang bekerja sendiri meninggal dunia akibat kemalangan ketika melakukan kerja-kerja kampung selain nahas jalan raya.

“Seperti sebelum ini terdapat kes Orang Asli meninggal dunia akibat terjatuh pokok kelapa dan waris mereka tidak dapat pampasan kerana mangsa tiada caruman Perkeso.

“Sebaliknya jika dilindungi, setidak-tidaknya dapatlah ia sedikit sebanyak meringankan beban mereka dan skim ini juga termasuklah jika pencarum itu meninggal dunia akibat diserang haiwan liar di hutan,” katanya.

Hee Sem (kiri) dan Abd Razak beramah mesra dengan petugas media pada Program Perkeso Mendekati Media dan Inisiatif SPS Padanan Perkeso di sebuah hotel di Melaka hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Program Perkeso Mendekati Media dan Inisiatif SPS Padanan Perkeso di sebuah hotel di sini hari ini yang menyaksikan seramai 40 petugas media secara sambilan mendapat tajaan Perkeso daripada Hee Sem.

Hadir sama, Pengarah Perkeso negeri Abd Razak Omar.

Mengulas lanjut, Hee Sem yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap Jaya berkata, sebagai permulaan, beliau menggalakkan ADUN kawasan membantu masyarakat Orang Asli untuk diberikan caruman SKSPS.

“Di Melaka kita ada 14 perkampungan orang asli merangkumi kira-kira 2,0000 penduduk dan setakat ini hanya 10 peratus daripada mereka yang bekerja sendiri mempunyai perlindungan Perkeso.

“Sebab itu, saya berharap ADUN kawasan dapat memastikan orang asli di kawasan mereka dapat dibela kerana kita tidak mahu waris keluarga terus terhimpit dengan masalah kewangan jika si suami ditimpa musibah ketika bekerja,” katanya.

Tambah Hee Sem, bagi DUN Machap Jaya, beliau telah menaja 130 orang asli untuk perlindungan Perkeso selama setahun dengan nilai keseluruhan RM6,058 atau bersamaan RM46.60 seorang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast