Hussein (duduk) bersama Timbalannya DCP Datuk Sasikala Devi melawat inspekor yang tercedera di HTAR Klang hari ini.Ihsan IPK Selangor

KUALA LUMPUR – Seorang polis berpangkat inspektor terjatuh pada ketinggian 6.10 meter semasa mengejar seorang suspek dipercayai tokan dadah di kawasan rumah kedai berhampiran Taman Sri Andalas, Klang pada Sabtu lalu.

Ketua Polis Selangor Komisioner Datuk Hussein Omar Khan berkata, meskipun dalam keadaan itu, polis itu terus mengejar suspek tanpa mempedulikan kecederaan yang dialami pada akhirnya berjaya memberkas suspek tersebut.

Katanya, pegawai itu adalah Inspektor Mohammad Azrin Yazid, 32, yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan.

“Kejadian berlaku pada jam lebih kurang 5.30 petang 7 Oktober lalu ketika pegawai berkenaan sedang terlibat dalam operasi tangkapan ke atas seorang suspek kes dadah di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Mohammad Azrin bersama pasukannya pergi ke sebuah rumah kedai di kawasan Jalan Sri Sarawak, Taman Sri Andalas setelah menerima maklumat awam mengenai suspek sebelum mendapati pagar serta pintu rumah kedai berkenaan dalam keadaan tertutup.

“Pegawai berkenaan telah memanjat ke bumbung hadapan di bahagian tingkat tiga rumah kedai berkenaan sebelum melihat suspek yang sedang cuba melarikan diri,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Tambah beliau, pegawai berkenaan kemudian turun ke bawah menggunakan saluran batang paip yang dipegang sebelum paip itu tiba-tiba patah menyebabkan dia terjatuh dari ketinggian 20 kaki.

Katanya, biarpun dalam keadaan sakit akibat terjatuh, Mohammad Azrin tetap komited dan mengejar suspek sehingga ke kawasan kedai berhampiran sebelum berjaya menahan suspek lelaki tersebut di kaki lima hadapan sebuah kedai di Sri Andalas.

“Pemeriksaan lanjut ke atas suspek tokan dadah itu pegawai berjaya menemui dua paket plastik berisi dadah jenis syabu anggaran berat 104.10 gram dalam beg yang dipakai suspek itu.

“Ekoran kecederaan akibat terjatuh dari batang paip setinggi 6.10 meter itu, Mohammad Azrin kemudian telah dirujuk ke klinik swasta berhampiran selepas badannya sakit teruk sebelum dikejarkan ke Hospital Pantai Klang pada jam 12 tengah malam Ahad dan kemudian dirujuk ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang untuk rawatan lanjut.

“Pemeriksaan oleh doktor perubatan mengesahkan Mohammad Azrin mengalami kecederaan pada bahagian kaki, tangan dan leher akibat terjatuh semasa insiden mengejar penjenayah itu.

“Beliau selamat menjalani pembedahan kecil pada bahagian kaki dan kini berada dalam keadaan yang stabil,” ujarnya.-MalaysiaGazette