Ramli Mohamed Yoosuf

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) meminta orang ramai berwaspada dengan skim penipuan pelaburan dalam talian dengan nama Xfox Mix Biz yang menjanjikan keuntungan lumayan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, pihaknya telah menerima satu laporan polis dari seorang pengadu yang mendakwa nama dan logo syarikatnya telah digunakan bagi mempromosi skim pelaburan berkenaan.

“Menerusi siasatan awal, pengadu menafikan pengetahuan mahu pun penglibatan syarikatnya dengan skim pelaburan tersebut.

“Berdasarkan semakan, setakat ini tiada laporan polis diterima dari mana-mana individu yang menjadi mangsa skim tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan dengan itu, Ramli menggesa mana-mana individu yang telah menyertai skim pelaburan Xfox Mix Biz untuk segera tampil membuat laporan polis.

Katanya, dalam usaha membendung kegiatan sindiket penipuan, PDRM mengingatkan masyarakat untuk tidak terpedaya dengan promosi pelaburan yang menjanjikan keuntungan terlalu lumayan dalam masa yang singkat.

“Semakan terperinci dengan agensi-agensi kerajaan yang berkaitan perlu sentiasa dilakukan sebelum mengambil keputusan untuk menyertai skim pelaburan tertentu,” katanya.

Orang ramai perlu mendapatkan nasihat serta maklumat lanjut dari sumber-sumber rasmi seperti National Scam Response Center (NSRC) di talian 997, portal semak mule, alert list Bank Negara Malaysia (BNM) dan Security Commission (SC) sebelum membuat keputusan untuk menyertai skim pelaburan yang meragukan. – MalaysiaGazette