KUALA LUMPUR – Indeks harga seunit besi mencatatkan penurunan antara negatif 0.1 peratus dan negatif 4.0 peratus pada September 2023, kata Jabatan Perangkaan.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, perbandingan bulanan mengikut bahan binaan dan kawasan terpilih menunjukkan penurunan indeks harga seunit bagi bahan binaan seperti besi, pasir, batu bata & dinding dan bahan kerja paip bagi kebanyakan kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

Perbandingan bulanan pada September 2023 mencatatkan penurunan indeks harga seunit besi iaitu antara negatif 0.1 peratus dan negatif 4.0 peratus bagi hampir semua kawasan.

Manakala indeks harga seunit keratan keluli & logam pula kekal tidak berubah bagi hampir kesemua kawasan berbanding bulan lepas kecuali sedikit penurunan dicatatkan di Perak (-0.5%), Pahang (-0.6%) dan Kota Kinabalu (-0.8%).

Indeks harga seunit simen bagi kebanyakan kawasan pula kekal tidak berubah berbanding Ogos 2023, namun begitu sedikit peningkatan dicatatkan bagi kawasan Pulau Pinang, Kedah & Perlis (0.5%), Terengganu & Kelantan (0.3%), Selangor, Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan (0.2%).

Manakala terdapat penurunan harga telah dicatatkan bagi kawasan Kota Kinabalu (-1.0%).

Papan lapis telah merekodkan peningkatan harga iaitu 3.6 peratus bagi semua kawasan di Semenanjung Malaysia, manakala harga kekal tidak berubah bagi semua kawasan di Sabah dan Sarawak.

Perbandingan tahunan untuk tempoh September 2022 dan September 2023 menunjukkan indeks harga seunit simen mencatatkan peningkatan antara 2.8 peratus dan 26.4 peratus bagi kesemua kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak kecuali bagi Sibu
dan Miri.

Peningkatan tertinggi indeks harga seunit simen adalah kawasan Kelantan dan Terengganu (26.4%) dan diikuti oleh kawasan Pulau Pinang, Kedah & Perlis (23.5%).

Indeks harga seunit besi mencatatkan penurunan antara negatif 0.8 peratus hingga negatif 13.3 peratus bagi September 2023 berbanding bulan yang sama tahun lalu.

Walau bagaimanapun, terdapat peningkatan indeks harga seunit besi dicatatkan di Kota Kinabalu (2.8%), Pulau Pinang, Kedah & Perlis (2.1%) dan Sandakan (1.4%).

Purata harga seunit besi yang terdiri daripada bar bulat keluli lembut dan Mycon 60 high tensile deformed bars adalah RM3,586.98 bagi setiap tan metrik dengan penurunan yang kecil iaitu 0.9 peratus berbanding bulan sebelumnya (Ogos 2023: RM3,620.05 per tan metrik).

Manakala, purata harga simen (Ordinary Portland) kekal tidak berubah berbanding bulan sebelumnya dengan purata harga RM22.89 per 50 kg.

Selain daripada itu, indeks Kos Bahan Binaan Bangunan (IKB) (termasuk bar keluli) bagi semua kategori bangunan di Semenanjung Malaysia meningkat antara 0.1 peratus dan 0.5 peratus pada September 2023 berbanding bulan sebelumnya, kecuali Pulau Pinang,
Kedah & Perlis dan Perak.

Peningkatan tertinggi adalah bagi kategori bangunan (konkrit tetulang) 2-4 tingkat (berbumbung rata) di kawasan Selangor, Kuala Lumpur, Melaka & Negeri Sembilan dan Pahang.

IKB (termasuk bar keluli) di Sabah menunjukkan penurunan di antara negatif 0.2 peratus dan negatif 0.8 peratus bagi hampir semua kategori bangunan di Kota Kinabalu, Sandakan dan Tawau pada September 2023 berbanding bulan sebelumnya.

Perbandingan bulanan IKB (termasuk bar keluli) di Sarawak pada September 2023 menunjukkan peningkatan indeks di antara 0.1 peratus dan 0.2 peratus bagi hampir semua kategori bangunan di Kuching dan Miri.

Manakala indeks bagi hampir semua kategori bangunan di Sibu mencatatkan penurunan indeks sebanyak 0.1 peratus kecuali bagi bangunan (konkrit tetulang) satu tingkat dan bangunan kayu. – MalaysiaGazette