Foto Instagram Shila Amzah.

KUALA LUMPUR – Penyanyi, Shila Amzah menafikan dakwaan akan menghalau keluarganya seperti kisah yang tular semalam selepas berhasrat menjual banglo didiami mereka ketika ini di Hulu Langat.

Menerusi sesi langsung di TikTok, Shila, 35, memberitahu, dia ingin menjual kediaman itu kerana ia meninggalkan banyak memori sedih berikutan perceraian ibu bapanya, Datuk ND Lala dan Fauziah Sarman.

Selain kediaman keluarga yang terlalu besar untuk isi rumah seramai lima orang, justeru dia ingin mencari kediaman baharu lebih selesa untuk didiami ibu dan adik-beradik.

“Rumah ini penuh dengan elemen kehidupan yang tak elok dengan kisah silam yang mungkin kita tak nak ingat. Bila ibu bapa bercerai, rumah ini ada kenangan yang tak menyeronokkan.

“Rumah keluarga duduk ini nama saya. Jangan risau tiada siapa yang nak halau keluarga. Saya pikul tanggungjawab sebagai ketua keluarga, saya nak jual rumah ini supaya saya boleh beli rumah yang lebih baik untuk mereka.

“Rumah sekarang sangat besar, 9,000 kaki persegi dengan tujuh bilik, kereta boleh masuk 10, ada tiga rumah kucing sedangkan yang duduk di rumah banglo ini hanya lima orang iaitu emak, Syada, Syahir, Amir and Icha. Tak ada orang gaji yang boleh menguruskan rumah ini,” jelasnya.

Isu penjualan rumah milik penyanyi itu mula tercetus selepas adiknya, Syada Amzah memuat naik satu hantaran di Instagram Story (IGs) memaklumkan rumah yang didudukinya bakal dijual.

Rentetan hantaran dibuat adiknya, Shila berkata, mungkin ramai yang skeptikal dan menuduhnya sebagai anak tidak bertanggungjawab. – MalaysiaGaazette