Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain. Foto MUHD NA’IM, 21 SEPTEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Kerajaan kerugian kira-kira RM13 juta hasil aktiviti perjudian dalam talian haram dan loteri awam tanpa lesen serta pertuduhan yang gagal diteruskan kerana kekurangan bukti dalam tempoh dua minggu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, jumlah itu dikesan selepas pihaknya melancarkan Op Dadu Khas di seluruh negara pada 22 September hingga 5 Oktober lalu.

“Kajian kira-kira rambang yang kita buat daripada jumlah kes yang kita tuduh dan ambil daripada hukuman paling rendah, kalau judi dalam talian di bawah Seksyen 4B (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 minimum denda RM10,000.

“Kita juga boleh buka di bawah Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang mana hukuman denda RM5,000 didarab dua dengan kes yang telah dituduh sebanyak 515 kes. Judi dalam talian sahaja, kerajaan kerugian RM3.8 juta.

“Bagi kes empat nombor ekor pula, hanya 735 pertuduhan sahaja dibuka di bawah Seksyen 4A(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dengan denda minimum RM20,000 dan Seksyen 9(1) akta sama sebanyak RM5,000.

“Jika melihat jumlah dituduh, ia membawa kepada RM9.1 juta. Kalau kita gabungkan kedua-dua anggaran angka itu, ia boleh menyebabkan kerajaan kerugian RM13 juta daripada hasil perjudian haram ini.

“Ini adalah dalam tempoh Op Dadu Khas yang kita jalankan selama dua minggu sahaja,” katanya pada sidang media di Bukit Aman hari ini.

Tambah Mohd Shuhaily, dalam Op Dadu Khas itu bagi aktiviti perjudian dalam talian haram, polis merampas wang tunai RM108,325 dan peralatan termasuk modem (22), router (12), tablet (3), laptop (1) dan telefon bimbit (792) dengan nilai keseluruhan RM513,025.

“Bagi aktiviti empat nombor ekor pula, polis merampas wang tunai sebanyak RM161,426 dan peralatan termasuk pencetak mudah alih (427) dan telefon bimbit (907) dengan nilai keseluruhan RM453,500,” katanya lagi. – MalaysiaGazette