KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mengesyorkan agar kerajaan mencari jalan altenatif bagi menjamin kestabilan beras negara.
Naib Pengerusinya, Wong Shu Qi berkata itu antara lapan syor yang digariskan kepada kerajaan berhubung Laporan Terimaan dan Bayaran Obligasi Sosial Perjanjian Konsesi Pengurusan Industri Padi dan Beras Negara di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).
“Kerajaan perlu mengkaji alternatif dalam menjamin kestabilan industri beras negara bagi mengelakkan kebergantungan kepada perjanjian konsesi BERNAS sekali gus mendorong ke arah pasaran terbuka beras.
“Kedua, KPKM perlu memantau Akaun Amanah Dana Obligasi Sosial BERNAS bagi memastikan segala penyaluran dan penggunaan dana berkenaan mengikut syarat-syarat yang ditetapkan dalam perjanjian,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen, hari ini.
Kenyataan itu dibuat Shu Qi berhubung prosiding yang dibuat PAC terhadap tiga saksi pada 14 Jun lalu.
Mereka adalah Ketua Setiausaha KPKM, Datuk Lokman Hakim Ali; Setiausaha Bahagian Pembangunan Industri Padi KPKM merangkap Ketua Pengarah Pengawalan Padi dan Beras, Datuk Azman Mahmood dan Ketua Bahagian BERNAS, Abdul Rahman Mohd. Nas.
Syor ketiga PAC adalah KPKM perlu memastikan BERNAS menyalurkan dana obligasi tepat pada masanya selaras dengan perjanjian konsesi BERNAS.
Malah KPKM, BERNAS dan JPN perlu segera mengintegrasikan dan mengemas kini pangkalan data pesawah bagi memastikan pembayaran SSHP dapat dilaksanakan dengan lebih telus, efisien dan teratur.
“KPKM dan BERNAS perlu segera membangunkan Sistem Maklumat Padi dan Beras serta Sistem Pengurusan Profil dan Nutrisi Tanah bagi memastikan keberkesanan penggunaan Sistem Kad Pintar pesawah.
“KPKM dan BERNAS perlu menyediakan Laporan Prestasi KPI secara bersama dengan lebih tepat, telus dan realistik berdasarkan prestasi pengurusan ladang yang sebenar.
“KPKM dan BERNAS hendaklah memastikan jentera dan mekanisasi disenggara dengan baik bagi membolehkan ia digunakan oleh pesawah pada bila-bila masa,” kata Shu Qi.
Syor terakhir adalah KPKM hendaklah menguatkuasakan remedi iaitu dengan menuntut penalti yang berkaitan, berhubung dengan kegagalan syarikat konsesi mematuhi obligasinya selaras dengan KPI yang ditetapkan dalam perjanjian konsesi.
Mac lalu, Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Chan Foong Hin memaklumkan BERNAS sebagai pengimport utama beras negara perlu melaksanakan 10 obligasi sosial tanpa menerima sebarang geran daripada kerajaan.
Kerajaan, jelas Foong Hin, tidak boleh membatalkan sebarang kontrak pengimportan beras ke negara ini secara unilateral kerana perlu mengambil kira obligasi sosial yang dipersetujui dengan BERNAS.
Obligasi itu antaranya ialah mengurus stok penimbal beras negara, mengekalkan peranan sebagai pembeli padi terakhir pada harga minima dan mengurus pembayaran subsidi harga padi serta skim pengilang, pemborong bumiputera dan koperasi petani.
Sebelum ini, kos yang perlu ditanggung BERNAS untuk menyambung pelaksanaan obligasi ini secara langsung atau tidak langsung ialah sebanyak RM3.22 bilion dan daripada jumlah itu, RM1.85 bilion membabitkan petani, manakala RM1.37 bilion kepada industri dan pengguna. – MalaysiaGazette