Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – MYAirline Sdn Bhd (MYAirline) perlu menjelaskan sebarang isu yang dihadapi kepada Kementerian Pengangkutan menerusi Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) sebelum agensi itu menyediakan sebarang bantuan, kata menteri berkenaan Anthony Loke.

“Kami akan lihat masalah mereka (aspek mana boleh dibantu kementerian) dari segi kemudahan, pelesenan dan sokongan kawal selia.

“Kami akan berusaha memudahkan dan memberi sedikit ruang kepada mereka, tetapi mereka perlu berjumpa kami untuk menjelaskan apakah masalah mereka,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Perundingan Penerbangan Kebangsaan (NACC) di sini hari ini.

Ketika ditanya laporan media berkenaan status kewangan syarikat penerbangan tambang rendah itu atau kemungkinan untuk diambil alih, Loke berkata beliau tidak menerima sebarang maklumat yang berkaitan.

“Setakat ini, saya tidak menerima apa-apa maklumat daripada Mavcom. Saya tidak tahu sama ada mereka menjual (syarikat penerbangan itu) kepada siapa atau siapa yang akan mengambil alih. Itu di luar pengetahuan saya.

“Sekiranya terdapat sebarang perubahan, pihak berkepentingan atau pihak lain, sudah tentu perlu dimaklumkan kepada Mavcom. Tetapi, setakat ini saya difahamkan belum ada apa-apa maklumat (itu),” katanya.

Terdahulu, media tempatan mendakwa syarikat penerbangan tambang rendah itu dipercayai akan menerima pelabur baharu yang berpotensi iaitu anak Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Abang Abdillah Izzarim Abang Abdul Rahman Zohari berikutan masalah kewangan yang melanda MYAirline.

Ini berlaku selepas Ketua Pegawai Eksekutif MYAirline Rayner Teo meletak jawatan berkuat kuasa 7 Okt 2023 atas sebab kesihatan.- BERNAMA