Pembikinan Labu Sayong di Kuala Kangsar

KUALA LUMPUR – Penyelidik Universiti Malaya bekerjasama dengan pengusaha labu sayong Kuala Kangsar dalam mengkaji labu sayong yang lebih berkualiti tinggi dari tanah liat campuran debu Gunung Berapi Toba.

Debu toba tersebut dijumpai oleh penyelidik Universiti Malaya dari Jabatan Geologi, Fakulti Sains, di beberapa lokasi di Semenanjung Malaysia.

“Gunung berapi Toba telah mengalami tiga peristiwa letusan besar kira-kira 74,000 tahun yang lalu dan ianya merupakan letusan yang terbesar. Jadi abu tersebut merebak dan naik ke udara dan dibawa angin hingga ke India dan juga lautan India.

“Abu kebanyakannya ditemui di lembangan sungai tanah tinggi yang sempit dengan tanah tinggi di sekitarnya, seperti lembangan Padang Terap dan Lembah Lenggong, disebabkan oleh lapisan abu yang terkumpul di persekitaran ini adalah tebal, lembah sungai telah menerima sumbangan abu yang banyak dari tanah tinggi sekitarnya,” kata Dr. Nur Iskandar Taib, Pensyarah Sambilan, Jabatan Geologi, Fakulti Sains Universiti Malaya.

Dr. Nur Iskandar, Penyelidik Fakulti Sains Universiti Malaya.

Labu Sayong merupakan kraftangan tembikar tradisional yang berasal dari kampung kepala bendang, sayong yang terletak lebih kurang 10 kilomete r dari Kuala Kangsar, Perak.

Ia diperbuat daripada bahan tanah liat yang mengandungi debu gunung berapi yang dipercayai dari gunung berapi Toba di Sumatera.

Menurut Dr. Hendrik Metselaar, Profesor Madya Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Fakulti Kejuruteraan Universiti Malaya berkata, dalam penyelidikan ini, mereka telah mengkaji fasa mineral yang terdapat dalam bahan mentah yang digunakan dalam pembuatan tempatan seramik labu Sayong dan bagaimana ia berubah apabila dirawat pada suhu 1000 celsius.

Tiga bahan tambah digunakan secara berasingan untuk mengkaji pengaruhnya terdapat sifat fizik kimia dan implikasinya terhadap tingkah lalu pensinteran dan termal.

“Abu gunung berapi boleh memainkan peranan dalam memastikan proses pembakaran yang sempurna dan penyejatan yang baik. Bahan tanah liat dan kompenennya selepas pengapian memainkan peranan yang penting dalam memperoleh sifat mekanikal yang dikehendaki.

“Selain itu, bagi seramik labu sayong, kajian menyeluruh diperlukan bagi mengekalkan nilai estetik, terutama pada warna, pada masa yang sama tidak mempengaruhi tindakan sebagai pendingin bersejat dan perawatan air semula jadi,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast