KUANTAN – Belanjawan 2024 yang akan diumumkan pada Jumaat ini diharapkan dapat meringankan kos sara hidup rakyat yang dilihat terkesan dengan kenaikan harga barang-barang.

Rata-rata yang ditemui MalaysiaGazette di sini mengeluh cabaran mendepani kehidupan sekarang yang diibaratkan mengemis di negara sendiri.

Bagi Yusof Yakob, 35, beliau mengharapkan bantuan kos sara hidup dan bantuan ditambah terutamanya kepada golongan B40.

Yusof Yakob

Tambahnya,  segala subsidi yang diberikan perlulah dinikmati oleh rakyat Malaysia bukan warga asing.

”Apa sahaja subsidi yang kerajaan bagi tolonglah dahulukan kepada rakyat Malaysia bukan warga asing. Rakyat kita susah menderita di negara sendiri.

“Semua barang harganya naik maka rakyat hidup tertekan. Berilah bantuan kepada rakyat kita dengan apa kerajaan nampak sekarang.

”Harga naik mendadak terutamanya beras, sudahlah mahal ada hilang dari pasaran memang kerajaan kena betulkan apa yang sedang kita lalui sekarang,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Bagi Zamkhaurusnisa Mohd Mor, 36, kerajaan perlu berfungsi dengan baik menangani peningkatan kos sara hidup dengan menurunkan harga barang.

Zamkhaurusnisa Mohd Mor

”Rakyat betul-betul susah sekarang. Kerajaan kena tunaikan apa sahaja janji kepada rakyat sebelum ini, tak kan nak tunggu Pilihan Raya Umum ke 16 janji lain lagi, janji sekarang belum tunaikan.

”Sekarang rakyat boleh tengok sosial media, sudah tak boleh tipu rakyat kita tahu. Jadi dengarlah rintihan kami,” jelasnya.

Manakala bagi Sarimah Yusof, 60, sebagai peniaga mereka memang berharap kerajaan melaksanakan kawalan harga secara konsisten dan tegas.

Sarimah Yusof

”Bila barang hilang harga naik yang terkesan kepada peniaga dan pembeli. Kenaikan sahaja ada tetapi penurunan tiada.

”Sekarang kuasa pembeli kurang, kita peniaga nak jual mahal tak sampai hati, barang pun jadi tak laku,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast