KUALA LUMPUR – Bekas pemain skuad kebangsaan, Shukor Adan dilaporkan semakin hampir untuk menyertai staf kejurulatihan skuad bawah 23 (B-23) negara.
Perkembangan itu dikongsikan oleh Astro Arena menerusi laman media sosial X memberitahu, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sudah membuat keputusan itu dan bakal mengumumkan dalam masa terdekat.
Shukor ketika ini menjadi sebahagian daripada staf kejurulatihan Kuala Lumpur City yang bersaing dalam saingan Liga Super dan sebelum ini dia didakwa bukan calon utama untuk menjadi pembantu jurulatih skuad B-23 itu.
Pembantu jurulatih Selangor, Nidzam Jamil dikatakan menjadi calon pertama yang dikaitkan dengan jawatan tersebut dengan FAM bersedia untuk meminjam khidmatnya dari skuad Gergasi Merah.
Kemudiannya nama seperti pengendali Terengganu II, Hairuddin Omar, ketua jurulatih skuad Piala MFL Penang iaitu Akmal Rizal Ahmad Rakhli dan jurulatih Kedah Darul Aman, Nafuzi Zain turut dikaitkan dengan jawatan tersebut.
Sekiranya spekulasi benar, Shukor dijangka menjadi pembantu kepada Juan Torres Garrido yang dinaikkan pangkat sebagai ketua jurulatih skuad B-23 negara.
Garrido akan menggantikan E. Elavarasan yang meletakkan jawatan selepas tamat kempen kelayakan Piala Asia B-23 di Thailand dimana Malaysia hanya mampu menamatkan saingan di peringkat kumpulan.
Dengan keputusan itu, Elavarasan kembali ke posisinya iaitu sebagai pembantu kepada Kim Pan-gon di skuad senior Harimau Malaya. – MalaysiaGazette