Sultan Nazrin Muizzuddin Shah

IPOH – Umat Islam di negara ini harus berusaha memelihara dan meningkatkan kefahaman berkenaan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah kerana ia merupakan usaha penting untuk memastikan keharmonian ummah dijamin. 

Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, ummah harus dilengkapkan dengan kefahaman yang jelas berkenaan pegangan itu agar umat Islam lebih bersedia menghadapi ancaman kemunculan ajaran sesat dan pemikiran janggal yang mengundang kebinasaan. 

“​Ancaman ke atas pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah dilakukan secara terang oleh musuh-musuh Islam dan secara terselindung melalui gerakan-gerakan batiniah tertentu, dan tindak tanduk individu yang mempamerkan diri mereka sebagai ulama, ustaz, tuan guru dan seumpamanya. 

“Namun pada hakikatnya, mereka membawa ajaran yang menyeleweng dan tafsiran yang menyimpang daripada landasan Islam sebenar. 

“Oleh itu ummah wajib berganding bahu memastikan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah dilindungi, dipelihara, difahami dan dihayati,” titah baginda. 

Sultan Nazrin bertitah demikian pada perasmian Muzakarah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Pusat Konvensyen Casuarina Meru Raya, di sini, pada Rabu. 

Berangkat mengiringi baginda ke majlis, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim. 

Turut berangkat, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Puan Besar, Raja Nazhatul Shima Sultan Idris Shah; Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Idris Shah dan Raja Puan Muda, Tunku Soraya Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Hadir sama, Exco Perak yang mewakili Menteri Besar, Khairudin Abu Hanipah; Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid; Mufti Perak, Datuk Wan Zahidi Wan Teh; serta Mufti Negara Singapura, Dr Naziruddin Mohd Nasir. 

Selain itu, Sultan Nazrin bertitah Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah disifatkan sebagai ajaran yang jelas dan tiada kekeliruan di dalamnya, serta pegangannya merupakan warisan jati diri umat Islam sejak agama itu mula bertapak di negara ini. 

Baginda bertitah, manhaj atau kaedah dan pendekatan pegangan itu juga bersifat pertengahan dan tidak keterlaluan atau ekstrem, malah ia menerima pendekatan nas dan akal. 

“Ahli Sunnah Wal Jamaah, berpegang bahawa manusia dituntut berusaha dan berikhtiar, tetapi memahami bahawa Allah SWT  yang menentukan hasil kejayaan dan pencapaian. 

“Dalam amalan Ahli Sunnah Wal Jamaah, akal diberikan ruang untuk berfikir dan membuat tafsiran, malahan takwilan (tafsiran) yang tidak jauh dengan tuntutan nas, bukan membuat tafsiran secara literal yang menampakkan Islam sebagai agama yang kaku dan tidak realistik,” titah baginda lagi. 

Terdahulu pada majlis baginda berkenaan menyempurnakan pelancaran dua buku yang dihasilkan Mufti Perak iaitu ‘Mengenal Kesesatan Syiah’ dan ‘Jaringan Islam Liberal dan Agenda Permutadan Ummah’. 

Pada masa sama, Sultan Nazrin turut berkenan mendengar pembentangan kertas kerja bertajuk ‘Memperkasa Kepemimpinan Kehambaan Dalam Menangani Cabaran Masa Kini : Pengalaman Singapura’ yang disampaikan Mufti Singapura.  – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast