KUANTAN – Cabaran Memancing Pahang 2023 bakal menarik ribuan pengunjung ke Tasik Pelindung, di sini pada 21 Oktober ini.
Menariknya, selain menjanjikan keseronokan memancing, pertandingan itu juga bertujuan mengumpul dana bagi tabung kemanusiaan yang akan disalurkan ke Palestin.
Pengerusi Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Pahang, Wan Muhammad Hafizzul Wan Ismail berkata, lapan orang pemancing dari negara jiran, Indonesia merupakan antara yang telah mengesahkan menyertai pertandingan itu.
“Pertandingan memancing ini sudah lama kami rancang dan kebetulan hujung minggu lalu berlaku krisis di Palestin, jadi kami fikir elok kita sekalikan dengan (pelancaran) kutipan dana untuk saudara kita di Palestin.
“Jadi, kami sebagai penganjur bersama pertandingan ini bersetuju untuk menyumbangkan lima peratus daripada hasil kutipan yuran perdaftaran akan disalurkan ke tabung berkenaan,” katanya dalam satu sidang media di sini, hari ini.
Menurut Hafizzul, pertandingan anjuran bersama GPMS, Pemuda UMNO Pahang dan Yessboss Group itu dijangka menarik penyertaan lebih 3,000 kaki pancing dari seluruh negara.
Peserta yang berminat pula boleh membuat pendaftaran melalui pautan disediakan di laman sosial Facebook GPMS Pahang, Pemuda UMNO Pahang dan laman sesawang Yessboss dengan yuran sebanyak RM100 setiap individu.
“Jumlah keseluruhan hadiah wang tunai ditawarkan adalah RM100,000 dan 300 penyertaan terawal akan menerima baju T disediakan penganjur.
“Selain itu, kita juga menyediakan hadiah cabutan bertuah serta pelbagai aktiviti untuk kanak-kanak dan wanita yang hadir pada hari pertandingan,” katanya lagi.
Difahamkan, pertandingan itu menggunakan format tangkap, timbang dan lepas manakala pemancing yang ingin membawa pulang ikan dipancing perlu membayar kepada pihak penganjur.
Sebanyak dua tan ikan keli akan dilepaskan ke Tasik Pelindung, sehari sebelum pertandingan berlangsung. – MalaysiaGazette