KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menyifatkan isu kekosongan guru bersifat sementara kerana lantikan baharu dilakukan berdasarkan jumlah yang telah dikenalpasti.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, kekosongan berlaku apabila senarai nama guru keluar daripada sistem disebabkan bersara, berpindah ke dalam Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), jabatan pendidikan negeri, meninggal dunia, meletak jawatan dan sebagainya.
“Di samping itu, unjuran keperluan guru disediakan pada setiap tahun bagi memastikan guru baharu di sekolah KPM sentiasa dipenuhi berdasarkan keperluan sebenar,” katanya menerusi jawapan bertulis Dewan Rakyat menjawab kepada soalan Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (Perikatan Nasional).
Jelas beliau, KPM juga sentiasa menyemak data unjuran dari semasa ke semasa berdasarkan keperluan.
Menurut Fadhlina, setakat 30 September lalu jumlah perjawatan guru bagi sekolah KPM adalah sebanyak 431,229 dan pengisian adalah seramai 410,366 (95.16%) orang.
Manakala jumlah kekosongan perjawatan guru bagi sekolah KPM adalah sebanyak 20,863 bersamaan 4.84 peratus.
Ujar beliau, demi menangani isu kekurangan guru KPM semasa Sambutan Hari Guru 2023 telah menyatakan komited untuk mempertingkat sinergi dan kerjasama strategik dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan serta agensi pusat yang berkaitan termasuk Jabatan Perkhidmatan Awam dan Kementerian Kewangan.
Selain itu, KPM juga telah mengumumkan memperluaskan pengambilan guru dalam kalangan graduan berpotensi tinggi dari universiti swasta dan universiti luar negara bagi mata pelajaran yang kritikal dan sukar mendapat calon dari Universiti Awam seperti Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu, Rekabentuk dan Teknologi dan Pendidikan Islam.
“Sekiranya pelbagai kaedah strategik yang dilaksanakan masih gagal memenuhi kekosongan maka pelantikan guru secara Contract of Service (CoS) dalam kalangan graduan yang tidak mempunyai ikhtisas pendidikan juga akan dilaksanakan.
“Guru-guru lantikan CoS ini akan dipersiapkan dengan ilmu, kemahiran dan sikap yang sesuai melalui Program Diploma Pascasiswazah Pendidikan (PDPP) selama setahun sebelum dilantik tetap oleh SPP,” katanya lagi.- MalaysiaGazette