Johari Abdul

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata, beliau terguris dengan kenyataan Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) yang mengeluarkan kenyataan ‘anak bapa’ terhadap Dr Mohammed Taufiq Johari (PH-Sungai Petani).

Johari berkata, tiada gunanya ahli-ahli Parlimen mencetuskan kekecohan dan menentangnya kerana beliau dipilih oleh Perlembagaan Persekutuan.

“Hari ini saya cukup terasa sebab kata-kata itu mengguris perasaan saya, saya rasa isu ini cukuplah,” katanya ketika mempengengerusikan Dewan Rakyat sesi petang.

Johari berkata demikian merujuk kepada kekecohan yang berlaku sebelum waktu rehat sesi pagi tadi.

Semuanya bermula apabila beberapa Ahli Parlimen kerajaan bangkit mempertikai perkataan itu yang disebut Awang mengeluarkan istilah ‘anak bapak’ di Dewan Rakyat.

Istilah berkenaan disebut Awang ketika Datuk Seri Shahidan Kassim (PN-Arau) bangkit meminta penjelasan apabila Dewan Rakyat mendahulukan usul di bawah Peraturan Mesyuarat 18(1) yang dibawa Dr Mohammed Taufiq berbanding usul yang dibawa beliau sehari lebih awal.

Usul dikemukakan Mohammed Taufiq mengenai isu penyorokan 180 tan beras oleh sebuah kilang di Kedah itu diterima untuk dirunding di Kamar Khas jam 2.30 petang ini.

Selain Mohammed Taufiq, beberapa Ahli Parlimen seperti RSN Rayer (PH-Jelutong), Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang) dan P Prabakaran (PH-Batu) bangkit meminta Awang menarik balik perkataan ‘anak papa’ itu.

“Saya minta tarik balik tuduhan itu. Siapa buat tuduhan… berani bangun!” kata Rayer.

“Saya mohon tarik balik Yang Berhormat. Kita bersikap profesional Yang Dipertua,” kata Mohammed Taufiq.

Johari berkata, tiada gunanya pembangkang mahupun ahli-ahli parlimen kerajaan untuk bergaduh dengan beliau.

“Saya mohon sangat jangan gaduh dengan saya, tidak ada sebab kerana tidak akan mendapat apa-apa bila bergaduh dengan saya.

“Saya hanya menjalankan tugas saya untuk selesaikan masalah rakyat. Kamu kedua-dua pihak nak gaduh saya tidak kisah, tetapi bila saya masuk ke Dewan Rakyat, sudahlah. Kita sambung sidang Dewan Rakyat,” katanya.

Mengulas lanjut, Johari berkata, beliau dikecam teruk oleh pihak luar dan media.

Jelasnya, perkara ini seharusnya selesai tanpa melibatkan dirinya sebagai Yang di-Pertua Dewan Rakyat.

“Apa yang Arau (Shahidan) bangkitkan saya tidak berlaku adil dengan tidak memberikan ruang untuk dia berucap adalah salah. Saya menerima cacian yang cukup banyak daripada media yang saya tidak berlaku adil kepada Arau dan saya memberikan laluan kepada Sungai Petani (Mohammed Taufiq) dan ditambah teruk lagi dengan kenyataan Pendang (Awang Hashim) kata anak bapa.

“Saya mohon kalau nak bergaduh, gaduhlah sesama sendiri, jangan libatkan Speaker, kalau sudah libatkan saya, susah jadinya nanti, sebab saya ada semua bukti,” kata Johari. – MalaysiaGazette