Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal

KUALA LUMPUR – Wakil rakyat pembangkang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad keliru dengan pembentangan Belanjawan 2024 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim petang tadi.

Wan Ahmad Fayhsal yang juga Ahli Parlimen Machang berkata, pembentangan belanjawan tahunan kedua kerajaan Malaysia Madani itu jelas tidak menyentuh beberapa fokus utama.

“Walaupun (ada beberapa perkara telah) disentuh dalam pembentangan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) tapi berharap beliau akan hurai balik (dalam Belanjawan 2024) tetapi ia tidak berlaku.

“Sebagai contoh mengenai pelaburan yang digembar-gemburkan sebelum ini mengenai Tesla dan sebagainya sebab kita hendak tahu adakah ia benar-benar turun ke bawah iaitu kepada rakyat,” katanya kepada media selepas mendengar perbentangan Belanjawan 2024 yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini.

Oleh yang demikian, Wan Ahmad Fayhsal berharap agar perincian kepada Belanjawan 2024 itu dibuat pada sesi perbahasan yang akan bermula Isnin depan.

“Kita menunggu sehingga hari perbahasan untuk mendengar penerangan yang akan dibuat oleh menteri berkaitan nanti,” katanya.

Sementara itu, beliau yang juga Timbalan Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN) berkata, pembangkang akan terus memainkan peranan sebagai semak dan imbang kepada Kerajaan Perpaduan.

“Kami di pihak pembangkang akan sentiasa main peranan semak dan imbang agar rakyat benar-benar dapat pulangan yang terbaik daripada Belanjawan 2024 ini,” katanya.

Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Solahuddin Hashim hadir pada Pembentangan Rancangan Malaysia Kedua Belas 2021-2025 (RMK12) di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 11 SEPTEMBER 2023.

Dalam pada itu, seorang lagi wakil pembangkang, Datuk Awang Hashim pula tertarik dengan peruntukan kerajaan Malaysia Madadi kepada Kementerian Pertahanan.

Jelasnya, peruntukan RM19.7 bilion kepada kementerian yang dipimpin Datuk Seri Mohamad Hasan perlu diberikan perhatian khusus untuk tidak mengulangi kes penyelewengan seperti kapal Scorpene dan kapal tempur pesisir (LCS).

“Kita perlu beri perhatian yang serius, ini adalah keselamatan negara kerana kita punyai kekuatan dalam menjaga keselamatan dan mahu Tentera Udara, Darat dan Laut ini mempunyai kelengkapan yang lengkap bagi mengawal kestabilan keselamatan negara.

“Ini perkara yang tidak boleh bertolak ansur dan berlaku perkara yang tidak diingini segala peruntukan projek yang kita jalanan ini sebab kita ada rekod yang sangat tidak baik berkenaan isu LCS.

“Negara kehabisan banyak wang rakyat sedangkan perkara itu sepatutnya boleh disiapkan mengikut jadual tetapi tidak dapat menyerahkan berdasarkan jadual,” katanya.

Kementerian Pertahanan menerima peruntukan RM19.7 bilion tahun depan dan ia meningkat RM2 bilion berbanding tahun ini.

Peruntukan itu bagi memperkukuh tahap kesiapsiagaan pertahanan dan keselamatan negara, Kerajaan akan memulakan proses perolehan aset-aset baharu.

Ini termasuklah perolehan 12 helikopter baharu Tentera Udara Diraja Malaysia; perolehan aset-aset utama Tentera Darat Malaysia seperti 60 kereta perisai infantri, 50 High Mobility Light Tactical Vehicle (HMLTV), 6 Hovercraft Integrated Fast Interceptor serta 733 kenderaan sokongan pelbagai jenis. – MalaysiaGazette