Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika hadir melancarkan tabung sumbangan Palestin selepas menunaikan solat Jumaat dan solat Hajat susulan peristiwa serangan Israel terhadap rakyat Palestin di Masjid Mahmoodiah, Presint 18, Putrajaya. Foto MUHD NA’IM,13 OKTOBER 2023.

KUALA LUMPUR – Kerajaan menambah dana sebanyak RM10 juta untuk Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan memastikan dana sumbangan akan dikumpul sehingga RM100 juta dengan kerjasama syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan rakyat negara ini demi membantu warga Palestin.

“Kerana menerima masalah ini saya dengan ini memutuskan Saya tambah dana permulaan RM10 juta dari kerajaan untuk Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP) dan saya akan pastikan semua GLC dan GLIC cuba mengumpulkan bersama rakyat dana awal sekurnag-kurangnya RM100 juta.

“Perkembangan mutakhir di Semenanjung Gaza kini bertambah gawat tatkala Israel kini telah mengepung warga Gaza dan Israel telah secara ganas dan biadab ingin menghalau mereka ke selatan semenanjung tersebut,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat hari ini.

Terdahulu, Kementerian Luar mengumumkan sumbangan RM1 juta daripada kerajaan Malaysia disalurkan menerusia AAKRP kepada Palestin.

Sementara itu, Anwar memaklumkan tekad untuk bersama pemimpin negara Islam menggunakan strategi antarabangsa demi menentang kezaliman Israel kepada negara berkenaan.

“Beberapa pemimpin dunia Islam telah mengambil beberapa inisiatif dan saya telah menghubungi beberapa orang pemimpin untuk menyatakan kita sedia menyokong sama ada Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) atau apa juga rencana lain untuk memberi tekanan supaya tekad kegilaan dan kezaliman ini dihentikan,” jelasnya.-MalaysiaGazette