FGV

KUALA LUMPUR – Kerajaan menyediakan RM2.4 bilion kepada Felda, Felcra dan RISDA untuk terus merancakkan aktiviti agrikomoditi dan meningkatkan sosioekonomi pekebun kecil.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, menjelang 2027, keluasan sawit tua yakni lebih 25 tahun dijangka mencapai lebih 560,000 hektar dan ini akan menjejaskan produktiviti hasil buah tandan segar dengan kerugian sehingga RM7 bilion setahun.

Bagi membendung masalah ini, kerajaan akan menyediakan Insentif Program Tanam Semula Sawit dengan peruntukan RM100 juta.

Insentif ini akan ditawarkan secara geran dan pinjaman kepada 7,000 pekebun kecil sawit persendirian.

Industri kelapa sawit negara perlu terus dipertahan daripada salah tanggap Eropah.

Anwar berkata, kerajaan menyediakan RM70 juta bagi meningkatkan tahap kemampanan industri sawit serta memperhebat Kempen Menangani Antiminyak Sawit di pentas antarabangsa.

Lembaga Getah Malaysia telah berjaya membangunkan kaedah penggunaan gas stimulan yang berupaya memangkin pengeluaran getah sehingga tiga kali ganda di samping mampu menambah jangka hayat pokok getah sehingga 25 tahun.

Sebanyak RM10 juta disediakan bagi melaksanakan projek rintis penggunaan gas stimulan untuk manfaat pekebun kecil getah di ladang seluas 1,000 hektar.

Kerajaan juga memperuntukkan RM90 juta kepada RISDA dan Felcra untuk menggalakkan pekebun kecil mengoptimumkan penggunaan tanah ladang melalui penghasilan tanaman makanan dan ternakan seperti cendawan, nanas, kelapa matag, lembu dan ayam.

Bagi meningkatkan produktiviti hasil perladangan dan mengurangkan kebergantungan kepada tenaga buruh asing melalui mekanisasi dan automasi seperti dron dan kenderaan pandu sendiri, skop galakan cukai automasi akan diperluas untuk meliputi sektor komoditi di bawah Kementerian Perladangan dan Komoditi.

Dalam Belanjawan 2023, kerajaan telah menaikkan paras harga pengaktifan Insentif Pengeluaran Getah (IPG) daripada RM2.50 kepada RM2.70 sekilogram.

Anwar menambah, kerajaan juga bersetuju untuk menaikkan paras harga pengaktifan IPG kepada RM3 sekilogram dengan peruntukan RM400 juta. – MalaysiaGazette