KUALA LUMPUR – Tiada mana-mana loji rawatan air (LRA) utama di sepanjang Sungai Selangor dihentikan tugas susulan kekeruhan aliran air yang tinggi dikesan akibat hujan lebat, sejak semalam.

Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor, Jamaliah Jamaluddin berkata, meskipun Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mengesan bacaan melebihi 2000 NTU di kawasan muka sauk LRA Rantau Panjang, namun keadaan terkawal.

“Semakan LUAS di beberapa lokasi termasuk Sg. Guntong telah mengesan peningkatan kadar kekeruhan tinggi sehingga 1000 NTU pada jam 11.30 malam semalam.

“Kadar kekeruhan yang tinggi ini berpotensi memberi impak kepada operasi LRA utama iaitu LRA Rantau Panjang, SSP1, SSP2 dan SSP3.

“Keadaan semasa Sg. Selangor adalah terkawal. Tiada risiko kepada operasi loji-loji rawatan air terlibat dilaporkan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya, LUAS mengambil tindakan segera mengeluarkan aliran kekeruhan tersebut melepasi kawasan muka sauk LRA dengan pembukaan penuh pintu baraj.

“Siasatan LUAS di sepanjang kawasan Sg. Selangor telah mengenal pasti beberapa lokasi projek/aktiviti.

“Ia berpotensi menyumbang kepada aliran pelepasan dengan kadar kekeruhan tinggi pada jarak sekitar 17km hingga 19 km dari muka sauk LRA Rantau Panjang,” katanya.

Selain itu, semakan LUAS mendapati aliran kekeruhan tinggi akan mengalir ke Sg. Guntong, Sg. Serendah, Sg. Garing, Sg. Sembah dan akhirnya ke sungai utama iaitu Sg. Selangor.

“LUAS telah menyelaraskan kerjasama bersama Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) bagi membantu melaksanakan pemantauan kelulusan pelan kerja tanah untuk projek-projek pembangunan berkaitan.

“LUAS akan melaksanakan pensampelan di beberapa lokasi berpotensi ini, kemudian dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia (JKM) untuk analisa serta tindakan lanjut penguatkuasaan di bawah Enakmen LUAS 1999,” katanya l.

Tambahnya, bermula jam 12 pagi tadi sehingga kini, bacaan kekeruhan Sg. Selangor di muka sauk LRA Rantau Panjang menunjukkan tren menurun dan telah dapat disegerakan kembali normal.

“Kerajaan Negeri Selangor dan LUAS sentiasa komited dan pro-aktif dalam memastikan kelangsungan sumber air di Negeri Selangor dan menyeru kepada semua agar prihatin terhadap kawasan-kawasan sensitif sumber air negeri.

“Pemeliharaan dan pemuliharaan sumber air adalah tanggungjawab bersama, Keprihatinan dan kerjasama semua pihak amat diharapkan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette