KUALA LUMPUR – Belanjawan 2024 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merangkap Menteri Kewangan hari ini merupakan Belanjawan Madani kedua.
Anwar menyifatkan ia sebagai kesinambungan dasar Kerangka Ekonomi Madani yang menumpukan tiga aspek utama.
Tiga tumpuan utama tersebut adalah Tatakelola Terbaik Demi Ketangkasan Perkhidmatan; Penstrukturan Semula Ekonomi Bagi Melonjak Pertumbuhan dan Peningkatan Darjat Hidup Rakyat.
Sebelum itu, beliau berkata, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada suku kedua 2023 mencatat pertumbuhan lebih sederhana sebanyak 2.9 peratus ketimbang 5.6 peratus pada suku pertama 2023.
“Secara keseluruhan, kita mencapai pertumbuhan separuh pertama 2023 sebanyak 4.2 peratus.
“Pencapaian ini cerminan permintaan eksport yang lebih perlahan
selain dampak asas yang tinggi pada suku kedua tahun lalu. Seiring realiti perkembangan ini, pertumbuhan KDNK bagi tahun 2023 harus diunjur semula kepada sekitar 4 peratus,” jelasnya semasa membentangkan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat hari ini.
Selain itu, Anwar berkata, pelaburan yang diluluskan separuh pertama tahun ini bernilai RM132.6 bilion ringgit.
Ujar beliau, pencapaian tersebut merangkumi RM63.3 bilion pelaburan langsung asing melibatkan keseluruhan 2,651 projek dan dijangka menghasilkan lebih 51, 000 peluang pekerjaan.
Tambahnya lagi, setakat Ogos lalu, hampir 13 juta pelancong masuk ke negara.- MalaysiaGazette