Ahmad Zahid Hamidi
Pengerusi Persatuan Sufi Antarabangsa, Datuk Mustafa Ab Rahman (tengah) menyerahkan Resolusi Simposium Peradaban Ihsan kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (kiri) pada Majlis Zikir Perdana Sedunia 2023 di Masjid Putra, Putrajaya. Foto WAN NABIL NASIR, 14 OKTOBER 2023.

PUTRAJAYA – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyeru umat Islam di negara ini mengetepikan perbezaan politik untuk bersama-sama mendukung perjuangan rakyat Palestin.

Beliau turut menasihatkan semua pihak agar jangan menuding jari sesama sendiri dan mengambil alih tugas Allah SWT dengan mendakwa bahawa satu kumpulan itu lebih Islam berbanding yang lain.

Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu berkata, ukuran keimanan adalah melalui ibadah dan amalan, bukannya keanggotaan dalam sesebuah organisasi.

“Maka tentunya tugas-tugas ini jika kita cernakan sebagai pasukan khusus ummah secara keseluruhannya untuk memperkuatkan akidah, menterjemahkan dalam bentuk ibadah dan amalam, itulah yang sebaik-baiknya.

“Kita sebagai sebuah negara yang berpaksikan pada Islam sebagai agama Persekutuan dihormati oleh rakan-rakan di negara-negara jiran, negara-negara Islam yang lain.

“Malah memperlihatkan bahawa kejayaan bagi penyatuan ummah itu memang sukar, tetapi untuk mempertahankan kejayaan itu lebih sukar,” katanya.

Zikir Perdana Sedunia
Para jemaah yang menghadiri majlis Zikir Perdana Sedunia 2023 di Masjid Putra, Putrajaya. Foto QURRATU AINI, 14 OKTOBER 2023.

Ahmad Zahid turut mengingatkan bahawa negara-negara telah dipecahperintahkan oleh musuh-musuh Allah SWT.

“Kita sering melayani perbezaan pendapat dalam kalangan kita bukan berdasarkan pada mazhab, tetapi berdasarkan rentak-rentak pengaruh neokolonialisme dan zionisme,” jelasnya.

Beliau berkata, terdapat negara-negara Islam yang bukan sahaja mengiktiraf Israel malah mereka memberi sokongan terhadap kekejaman rejim Zionis di Gaza dan Tebing Barat ketika ini.

Ahmad Zahid berkata demikian ketika berucap merasmikan Zikir Perdana Sedunia 2023 di Masjid Putra, Putrajaya, malam ini.

Turut hadir, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Pengerusi Persatuan Sufi Antarabangsa, Datuk Mustafa Ab Rahman.

Pada majlis sama, Ahmad Zahid menerima eesolusi Simposium Peradaban Ihsan 2023 yang diserahkan oleh Mustafa.

Beliau turut menunaikan solat Maghrib dan isyak bersama para jemaah serta membaca ratib Al-Attas dan asmaul husna pimpinan Habib Abu Bakar Alwi Al-Haddad dan zikir munajat pimpinan Sheikh Aleey Abdul Qadir at-Tohri. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast