MELAKA – “Saya tak salahkan guru mahupun pelajar yang ‘menggantikan’ nyawa angah, sebaliknya reda dengan ketentuan Allah ini,”.
Itu luahan sebak Mohd Faizal Hasan, 43, mengenai pemergian anak bongsunya Faris Darwisy Mohd Faizal, 16, yang mati lemas di Pantai Mutiara, Kem Terendak, Sungai Udang, di sini, petang semalam ketika cuba menyelamatkan rakan sekelasnya yang hampir lemas.
Ketika kejadian mereka seramai 15 pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kem Terendak dan dua guru pelatih sedang meraikan majlis perpisahan dengan guru mereka di pantai itu.
Menceritakan detik sebelum kejadian, Mohd Faizal yang juga Ketua Inspektor Penjara Sungai Udang berkata, dia menghantar sendiri anaknya itu ke lokasi kira-kira jam 4.30 petang.
“Selepas itu saya meneruskan perjalanan ke Melaka Sentral untuk menaiki bas ke Kota Bharu, Kelantan namun berasa tak tak sedap hati sebelum menaiki bas.
“Tidak lama selepas itu, sekitar 6.30 petang, saya dapat panggilan telefon daripada anak sulung mengatakan angah (Faris Darwisy) lemas dan usaha mencarinya sedang dilakukan pihak berkuasa,” katanya ketika ditemui di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Melaka, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd Faizal berkata, dia reda dengan pemergian anak bongsunya itu ketika berusaha menyelamatkan nyawa rakan sekelasnya.
“Ketika kejadian, arwah yang mengikuti kelas renang tidak mandi tetapi nekad terjun ke dalam air untuk menyelamatkan rakannya itu yang sudah terkapai-kapai meminta tolong.
“Malah, dia memang bercita-cita untuk menjadi tentera dan amat menjaga pemakanan untuk mendapatkan tubuh dan stamina yang ideal,” katanya.
Malam tadi, MalaysiaGazette melaporkan mayat mangsa kejadian tragis itu ditemui pasukan skuba komando tentera darat pada pukul 9.25 malam.
Mayat ditemui pada kedudukan kira-kira 50 meter daripada tempat terakhir pelajar tersebut dilihat mandi dan disahkan meninggal dunia dipercayai lemas dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) – MalaysiaGazette