PUTRAJAYA – Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) sedang mengadakan perbincangan dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berhubung insiden rumput baharu di Stadium Nasional, Bukit Jalil (SNBJ) yang ‘koyak’ ketika perlawanan antara Harimau Malaya dengan India, malam tadi.
Perkembangan itu dimaklumkan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang memberitahu, PSM akan mengeluarkan kenyataan sejurus selesai perbincangan mengenai perkara berkenaan.
Katanya, beliau turut menunggu kenyataan tersebut untuk mendapatkan respon seterusnya bagi persiapan terhadap perlawanan lain yang akan berlangsung pada Sabtu depan.
Tambah beliau, pihak teknikal yang mengendali padang berkenaan juga perlu memberikan perkembangan.
“Jadi, saya akan tunggu kenyataan perbadanan stadium dan FAM hari ini dan kita akan lihat bagaimana persiapan untuk pasukan untuk menghadapi perlawanan pada hari Sabtu nanti.
“Bukan menteri suruh tutup kena tutup (Tutup padang)…dia kena kontraktor yang expert (pakar) jaga (rumput) Zeon Zoysia. Kita buat bergantung pada teknikal expert ini,” ujarnya.
Mengulas lanjut Hannah berkata, Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang merupakan penaja rumput baharu di stadium tersebut ada melahirkan kebimbangan terhadap rumput yang baharu dipasang.
Katanya, baginda mempunyai pengalaman kerana rumput yang sama turut digunakan di Stadium Stadium Sultan Ibrahim di Johor Bahru.
“Mengenai infrastruktur, memang Tunku Mahkota Johor ada beritahu saya semasa pelancaran bahawa beliau risau mengenai padang itu mungkin belum maksimum.
“Berdasarkan pengalaman Tunku Mahkota…jadi, kita bergantung sangat kepada kontraktor kerana kontraktor itu adalah expert yang bantu untuk stadium JDT di Johor,” katanya.
Terdahulu hari ini, Tunku Ismail menerusi hantaran di laman sosialnya memkalumkan, padang baharu di SNBJ masih memerlukan masa dua hingga tiga bulan sebelum ia sedia digunakan.
TMJ menyuarakan pendapat berkenaan susulan kualiti permukaan padang di Stadium Nasional itu yang baru dinaik taraf menggunakan rumput jenis Zeon Zoysia dipersoal peminat bola sepak tanah air selepas perlawanan Pestabola Merdeka 2023, malam tadi.
Rumput di gelanggang keramat Harimau Malaya itu tercabut di beberapa bahagian semasa perlawanan Malaysia menewaskan India 4-2 pada aksi pertama kejohanan tersebut.
TMJ memaklumkan padang baharu itu sepatutnya diberi masa untuk akarnya tumbuh dengan kuat sebelum digunakan seperti padang di Stadium Sultan Ibrahim, gelanggang rasmi JDT, di Iskandar Puteri, Johor Bahru.
Khamis lalu,TMJ yang juga pemilik kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) merasmikan padang baharu itu dengan proses penukaran rumput ditaja olehnya.
SNBJ kini antara empat buah stadium utama di Asia Tenggara yang menggunakan rumput jenis Zeon Zoysia selain Stadium Nasional Singapura, Stadium Utama Gelora Bung Karno, Indonesia dan Stadium Sultan Ibrahim. – MalaysiaGazette