Gambar hiasan

BAGAN SERAI – Polis menahan pasangan warga emas dan anak lelaki mereka bagi membantu siasatan kes kematian kanak-kanak lelaki berusia dua tahun dua bulan yang disyaki didera semalam.

Kanak-kanak malang itu disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang bertugas ketika mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Bagan Serai pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Juna Yusoff berkata polis menerima laporan daripada pihak klinik berhubung kejadian itu kira-kira jam 7 malam.

Menurutnya, pasangan warga emas terbabit menyedari mangsa yang dijaga oleh anak lelaki mereka tidak sedarkan diri dan mengalami kecederaan kemudian bertindak membawanya ke klinik untuk mendapatkan rawatan kira-kira jam 6 petang semalam.

“Hasil siasatan awal mendapati mangsa adalah anak kepada jiran pasangan tersebut dan anak lelaki mereka yang berumur 26 tahun telah mengambil mangsa untuk diasuh sementara.

“Selepas menyedari mangsa tidak sedarkan diri dan mengalami kecederaan pasangan warga emas terbabit membuat keputusan membawa mangsa ke klinik kesihatan untuk mendapatkan rawatan.

“Hasil pemeriksaan yang dilakukan oleh pembantu perubatan mendapati mangsa telah meninggal dunia dan menemui kesan lebam serta luka melecur pada tubuh badan mangsa,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat.

“Hasil bedah siasat ke atas mangsa mendapati kematiannya berpunca daripada pendarahan di bahagian kepala akibat hentakan objek tumpul.

“Selain itu, terdapat kesan luka melecur dipercayai akibat objek panas dan kecederaan pada lubang dubur mangsa.

“Sehubungan itu, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” ujarnya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil untuk membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Asisten Superintendan Ambri Mat Nayan di talian 011-1309 2525 atau menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Kerian di talian 05-721 222. – MalaysiaGazette