KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong berkenan menenangkan mangsa kemalangan di Plaza Tol MEX Putrajaya petang tadi.
Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Ahmad Shah Al-Musta’in Billah bersama Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar turun daripada kenderaan dan melihat sendiri kemalangan yang berlaku.
Menerusi Instagram Istana Negara, baginda berdua dalam perjalanan ke Pusat Ekuestrien Putrajaya apabila motoked baginda berdua melewati kawasan kemalangan yang membabitkan sebuah kereta dan lori.
Usai menyantuni mangsa kemalangan, Seri Paduka Baginda berdua kemudiannya meneruskan perjalanan ke Pusat Ekuestrien Putrajaya bagi menghadiri perlawanan Polo persahabatan antara Royal Pahang Polo Club bersama pasukan Polo negara Brunei Darussalam. – MalaysiaGazette