Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – McDonald’s Malaysia digesa untuk menzahirkan sokongan terhadap pejuangan rakyat Palestine daripada penjajahan dan penindasan regim Israel.

Gesaan itu dibuat selepas McDonald’s Malaysia menegaskan tindakan McDonald’s Israel membekalkan makanan kepada askar Israel sebagai tidak mencerminkan nilai atau amalan pihaknya.

Gerakan BDS (Boikot, Penjualan, Sekatan) Malaysia yang membuat gesaan tersebut berkata, McDonald’s Malaysia perlu mencontohi rakannya di beberapa negara yang telah mengumumkan untuk memberikan bantuan kepada rakyat Palestine.

DBS Malaysia turut menggesa agar McDonald’s Malaysia mengeluarkan kenyataan mengutuk keganasan yang dilakukan Israel terhadap penduduk Palestine.

“Kami menyeru McDonald’s Malaysia untuk menjauhkan diri daripada sokongan McDonald’s Israel terhadap tentera Israel dan menyatakan secara terbuka sokongannya kepada rakyat Palestine.

“Kami juga ambil perhatian bahawa pelbagai francaisi McDonald’s di negara-negara seperti Turkiye, Oman, Arab Saudi, dan Qatar telah mengumumkan usaha untuk memberikan bantuan kepada rakyat Palestin.

“Kami selanjutnya menyeru McDonald’s Malaysia untuk mengutuk dasar genosid Israel,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, kegagalan untuk melakukan saranan tersebut akan mencerminkan pendirian McDonald’s Malaysia yang tidak prihatin terhadap rakyat Palestin yang terbunuh akibat serangan Israel.

Tambah BDS Malaysia, kegagalan berbuat demikian juga boleh menyebabkan gesaan untuk memboikot semua rangkaian francias tersebut di Malaysia.

McDonald’s Malaysia dalam kenyataan berkata, tindakan McDonald’s Israel membekalkan makanan kepada tentera Zionis adalah keputusan unilateral atau bersendirian.

Katanya, sebarang tindakan yang dibuat oleh pemegang francais individu tidak boleh dianggap sebagai tindakan global, dasar syarikat atau pendirian politik rasmi yang diambil oleh McDonald’s secara global.

McDonald’s Malaysia menegaskan syarikat itu dipegang oleh 100 peratus Muslim dan setiap tahun turut membayar zakat.

Sebelum ini tular McDonald’s Israel membekalkan makanan kepada tentera Isreal yang kini berperang dengan pejuang pembebasan Palestin, Hamas.

Rata-rata netizen mengecam tindakan McDonald’s Israel yang dianggap bersengkongkol dengan regim yang mengamalkan penjajahan, penindasan dan penghapusan etnik terhadap rakyat Palestine.-MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN

Tindakan McDonald’s Israel tidak mencerminkan McDonald’s Malaysia