PUTRAJAYA – Bagi memastikan peruntukan dalam Belanjawan 2024 disalurkan tepat kepada semua lapisan masyarakat, Kementerian Kewangan menubuhkan Jawatankuasa Pemantauan Belanjawan.
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata jawatankuasa tersebut akan diketuai Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Kementerian Kewangan akan menubuhkan Jawatankuasa Pemantauan Bajet 2024 yang akan menyemak dan mendapat maklumat balas dan memastikan pelaksanaan bajet dilaksanakan sebaik mungkin dengan kepantasan yang sesuai agar manfaat kepada rakyat boleh dicapai.
“Oleh kerana kita telah membentangkan dan diluluskan di Dewan Rakyat Akta Kewangan dan Tanggungjawab Fiskal pada Rabu.
“Antara perkara pelaporan yang telah dibuat ialah melaporkan pencapaian bajet dalam masa 6 bulan dan kita akan laporkan di Dewan Rakyat pada awal September dan kita sudah mulakan pelaporan itu untuk 2023,” katanya dalam sidang media selepas menyempurnakan Larian Kewangan 2023 di Dataran Wawasan, hari ini.
Hadir sama adalah Steven Sim serta Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli.
Jawatankuasa tersebut akan memantau peruntukan dalam Belanja 2024 selama enam bulan dari Januari hingga Jun dan satu perbentangan akan dibuat pada awal September di Dewan Rakyat.
Jelas Ahmad, jawatankuasa ini ditubuhkan untuk memastikan manfaat kepada rakyat dan negara dapat dimaksimakan dalam tempoh yang ditetapkan.
Malah jawatankuasa itu akan bergerak seiring dengan Akta Kewangan dan Tanggungjawab Fiskal 2023 yang telah diluluskan di Dewan Rakyat, pada Rabu.
“Kita telah mulakan tahun ini (pelaporan setengah tahun 2023). Kita sudah melaporkan pencapaian setengah tahun baru-baru ini dikeluarkan pada 23 September tahun ini.
“Walaupun FRA belum diluluskan tapi kita sudah memulakannya. Dengan lain perkataan kita tidak boleh melewatkan semua perkara. Jika ada kelulusan tertentu yang boleh Kementerian Kewangan berikan misalnya kaedah tertentu untuk mempercepatkan kita akan laksanakan.
“Baru-baru ini kita laksanakan pembaikan tandas kepada 8,000 sekolah ada kaedah kewangan yang kita permudahkan supaya ia boleh dilaksana dengan pantas,” katanya lagi.
Ditanya mengenai dakwaan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Pertubuhan Rapat Aman Malaysia (Rapat) bahawa Belanjawan 2024 meminggirkan kaum India, Ahmad berkata peruntukan RM393.8 bilion itu merangkumi peruntukan untuk semua kaum.
“Tidak ada. Bajet 2024 ada segalanya. Segalanya itu untuk kaum India, Melayu, Cina, Iban, Kadazan dan Dusun.
“Apabila kita bagi RM10 bilion Sumbangan Tunai Rahmah (STR) untuk India, Melayu, Cina, Iban, Kadazan dan Dusun dan seluruhnya.
“Apabila kita sebut sekolah itu untuk semua, bila sebut kesihatan itu untuk semua tidak ada yang terpinggir,” katanya lagi.
Media semalam melaporkan Pengerusi Pertubuhan Rapat, A Rajaretinam berkata belanjawan ini bukti Anwar hanya pandai bercakap manis.
Pertubuhan itu menyatakan rasa kecewa setelah mendakwa Belanjawan 2024 meminggirkan masyarakat India.
Jumaat lalu, kerajaan memperuntukan RM393.8 bilion dalam Belanjawan 2024 yang dikenali sebagai Belanjawan Madani Kedua, sekali gus menyaksikan belanjawan tertinggi yang pernah dibentangkan dalam sejarah negara.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga Menteri Kewangan berkata, daripada jumlah tersebut, RM303.8 bilion adalah untuk belanja mengurus, RM90 bilion untuk belanja pembangunan dan RM2 bilion simpanan luar jangka. – MalaysiaGazette