Ahli Parlimen Selayang, William Leong bercakap kepada media Malaysia Gazette selepas selepas sesi dialog bantahan Projek Pembinaan Insinerator (Loji Pembakaran Sampah) di Bandar Tasik Puteri, Rawang, Selangor. Foto MUHD NA’IM,15 OKTOBER 2023.

RAWANG – Kerajaan Negeri Selangor perlu memberi jaminan sejauh mana projek pembinaan loji insinerator di Batu Arang di sini yang bernilai RM4.5 bilion tidak menjejaskan kehidupan lebih setengah juta penduduk.

Ahli Parlimen Selayang, William Leong berkata, setakat ini, tiada kajian geologi yang dapat membuktikan loji pelupusan sampah itu sesuai dibina di Batu Arang.

“Apa yang diminta penduduk di sini adalah jaminan tentang keselamatan dan kesihatan mereka.

“Geologi di Batu Arang ini adalah lombong arang batu, ada terowong lebih 55 kilometer di bawah batu arang, ada gas methane kalau insinerator dibina dengan membakar dengan suhu yang tinggi, adakah ini selamat?

“Kita telah minta untuk mengadakan satu kajian geologi supaya kita tahu tempat ini sesuai atau tidak. Kalau ada gas methane, ia akan meletup dan membakar tempat ini,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini hari ini.

Terdahulu William mengadakan dialog bersama 120 penduduk yang membantah pembinaan insinerator di KRT Ivory 1, Bandar Tasik Puteri.

Dalam pada itu, beliau juga berkata, sehingga kini, tiada laporan pakar yang membuktikan insinerator selamat kepada orang ramai.

“Apa jaminan teknologi yang baharu ini adalah selamat? Tidak ada satu laporan pakar yang sampai hari ini mengatakan bahawa teknologi baharu ini adalah selamat

“Bolehkan YTL atau kerajaan mahupun pihak berkuasa bertanggungjawab memberikan satu jaminan bahawa teknologi ini tidak akan menjejaskan kesihatan penduduk,” katanya.

Selain pencemaran, Batu Arang yang terkenal sebagai tapak warisan dunia akan hilang daya tarikan akibat pencemaran bau selepas menjadi laluan keluar dan masuk lori sampah.

“Dengan kapasiti yang ada, nampaknya 400 lori sampah akan keluar masuk sehari, ditambah pula dengan kesesakan. Adakah ini tempat yang sesuai, struktur yang sesuai untuk menampung pertambahan lori yang akan ada.

“Adalah pihak berkuasa dan syarikat terbabit akan menambahbaik keadaan infrastruktur supaya ini tidak menjadi satu lagi masalah kepada penduduk,” katanya.

Sehubungan itu, William turut mencadangkan agar satu jawatankuasa khas ditubuhkan antara kerajaan negeri dan wakil penduduk dalam mengkaji semula kerelevenan projek itu.

“Jawatankuasa ini perlu ambil kira suara dan pendapat penduduk bagi menjamin keselamatan dan kesihatan mereka. Kerajaan negeri tidak boleh berbuat sesuatu tanpa berdialog dengan penduduk,” katanya lagi. – MalaysiaGazette