Gambar hiasan

IPOH – Akibat tidak mahu membantu membuat persiapan program di sebuah sekolah di Bandar Sri Botani, di sini, seorang tukang kebun dipercayai bertindak menyebabkan kematian seorang pengawal keselamatan, pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata pihaknya menerima maklumat berkenaan seorang lelaki yang ditemukan maut di sebuah pondok keselamatan di sekolah berkenaan pada jam 3.34 pagi.

Menurutnya hasil siasatan awal mendapati lelaki yang berusia 43 tahun itu ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri dan bersandar pada dinding pondok pengawal keselamatan itu.

Katanya mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh petugas ambulans dari Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini.

“Pihak polis turut menahan seorang lelaki berumur 55 tahun yang bekerja sebagai tukang kebun di sekolah itu dan merampas senjata yang digunakan oleh suspek, untuk membantu siasatan.

“Hasil bedah siasat terhadap mayat mangsa menunjukkan punca kematian mangsa adalah kecederaan pada bahagian abdomen akibat objek tumpul,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Tambah beliau, hasil siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada tindakan tukang kebun yang marah kepada mangsa kerana tidak membantunya dalam membuat persiapan untuk sebuah program di sekolah mereka.

Yahaya berkata kes diklasifikasikan sebagai kes bunuh dan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Ipoh pada Ahad untuk permohonan perintah tahanan reman.

“Dengan tertangkapnya suspek tersebut, maka kes ini telah berjaya diselesaikan.

“Pihak siasatan akan melengkapkan siasatan kes ini dan merujuk kertas siasatan kepada timbalan pendakwa raya untuk cadangan pertuduhan,” jelasnya lagi. – MalaysiaGazette