KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memberi jaminan untuk meneliti dan mempercepatkan masalah tandas sekolah demi kesejahteraan anak-anak di sekolah.
Menerusi catatan di Facebook hari ini Perdana Menteri mengucapkan terima kasih kepada seorang murid berusia sembilan tahun bernama Maryam yang menulis surat kepada beliau menceritakan keadaan tandas di sekolahnya.
“Terima kasih Maryam. Saya akan berusaha dengan lebih teliti dan percepat selesaikan masalah ini demi kesejahteraan anak-anak di sekolah,” kata Perdana Menteri.
Dalam hantaran itu Anwar turut berkongsi surat Maryam yang ditulis tangan dalam Bahasa Inggeris dan merujuk beliau sebagai Uncle Anwar.
Perdana Menteri ketika membentangkan Belanjawan 2024 bertemakan “Reformasi Ekonomi, Memperkasa Rakyat” pada Jumaat berkata projek pembaikan tandas di 8,354 sekolah hampir siap sepenuhnya tahun ini juga.
Ketika membentangkan Belanjawan 2024 Anwar berkata tidak boleh diterima akal bahawa selama ini anak-anak dibiarkan mengharungi alam persekolahan dengan kemudahan asas khususnya tandas yang rosak dan uzur.- BERNAMA