KUALA LUMPUR – Jabatan Tenaga Kerja Sememanjung Malaysia (JTKSM) akan mengadakan satu perjumpaan dengan pihak pengurusan syarikat penerbangan tambang murah MYAirline Sdn Bhd (MYAirline).
Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar berkata, pertemuan itu dibuat bagi mendengar penjelasan daripada syarikat itu malah satu laporan akan diberikan kepadanya selepas itu.
“Perkara ini (penutupan operasi MYAirline) juga telah dibawa ke perhatian saya dan saya arahkan pihak Perkeso dan JTKSM untuk melihat dan mendengar keadaan sebenar serta membuat laporan kepada saya dengar segera.
“Pihak Perkeso telah menghubungi mereka dan telah mengambil semua tindakan sewajarnya manakala JTKSM akan berjumpa dengan pihak pengurusan hari ini dan mereka akan buat laporan kepada saya dan apakah tindakan yang perlu diambil kita akan ambil sewajarnya,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen, hari ini.
Semalam, Sivakumar berkata, lebih 500 pekerja syarikat penerbangan itu dijangka menerima manfaat Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) jika perkhidmatan mereka ditamatkan.
Manfaat Elaun Mencari Pekerjaan (EMP) itu akan diberikan kepada pekerja berkenaan selepas semakan terhadap rekod caruman SIP mereka memenuhi syarat kelayakan.
Khamis lalu, MYAirline menerusi satu kenyataan memaklumkan penggantungan operasinya mulai 6 pagi dan keputusan berkenaan diambil berikutan tekanan kewangan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke sebelum ini berkata, seramai 125,000 penumpang terjejas selepas syarikat MYAirline mengantung operasi pada 12 Oktober lalu.
Ia turut mengakibatkan kerugian kira-kira RM20 juta yang ditanggung oleh penumpang, berdasarkan jualan tiket penerbangan syarikat terbabit. – MalaysiaGazette