KUANTAN – Persimpangan Berlian iaitu jalan masuk ke Kawasan Perindustrian Semambu dibuka semula kepada pengguna jalan raya malam tadi setelah ia ditutup hampir lima bulan.
Exco Kerja Raya Pengangkutan dan Kesihatan Pahang, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, bagaimanapun kerja-kerja mengecat garisan jalan masih belum disempurnakan.
“Oleh demikian, semua pengguna jalan raya yang melalui jalan ini diminta mematuhi papan tanda keselamatan dan perlahankan kenderaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, kerja penyelenggaraan jalan tersebut telah dilaksanakan dengan kos sebanyak RM1.2 juta.
Berdasarkan skop asal projek, katanya, kerja selenggara jalan itu hanya melibatkan kerja pembaikan jalan termasuk di semua susur dan laluan ke Polisas.
“Namun terdapat pertambahan skop kerja yang perlu dilaksanakan di tapak kerana dikesan adanya aliran air yang kuat di bawah tanah di laluan ini dan ini memerlukan kerja yang lebih rumit seperti kerja saliran dan Concrete Fiber Pavement. Oleh itu skop kerja asal tidak dapat dilaksanakan,” tambah Fakhruddin.
Bagaimanapun, katanya, Jabatan Kerja Raya (JKR) Pahang telah mengemukakan semula permohonan baharu bagi tahun 2024 untuk kerja penyelenggaraan jalan bagi lokasi tersebut.
Persimpangan Berlian dituttup kepada pengguna jalan raya bermula 4 Jun lalu bagi kerja-kerja pembaikan terbabit. – MalaysiaGazette