Seorang lelaki mengaku tidak bersalah atas pertuduhan miliki bom buatan sendiri, pistol serta kerambit di Mahkamah Butterworth, Pulau Pinang hari ini.

BUTTERWORTH – Seorang pekerja kilang dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas pertuduhan memiliki bom buatan sendiri (IED) tanpa kebenaran sah pada 8 Oktober lalu.

Bagaimanapun, tertuduh, Bonny anak Tigong, 32, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Siti Zulaikha Nordin.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah unit flat Taman Pandan, Mak Mandin pada jam 7.35 malam.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Mahkamah benarkan suspek diikat jamin RM15,000 untuk tiga pertuduhan.

Bagi pertuduhan berikutnya, Bonny turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memiliki pistol tiruan yang didakwa dilakukan pada jam 6.30 petang di bawah flat sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 36 Akta Senjata 1960 yang boleh dipenjara sehingga setahun atau didenda sehingga RM5,000 atau kedua-dua sekali.

Sementara itu, di Mahkamah Sesyen pula, tertuduh mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memiliki sebilah kerambit bersama sarung yang didakwa dilakukan di lokasi dan masa sama.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 7(1)(a) Akta Bahan-bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang jika sabit kesalahn boleh dipenjara antara lima hingga 10 tahun dan sebatan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Asma Amira Shahidani dan Mohammad Syafiq Nasrullah Saleem Ali.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam itu merayu agar mahkamah meringankan jumlah jaminan atas alasan dia perlu menyara ibu bapanya.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 bagi ketiga-tiga pertuduhan.

Tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 16 November depan untuk serahan dokumen serta lantikan peguam.

Media sebelum ini melaporkan polis menahan seorang lelaki tempatan dan wanita Indonesia polis bagi membantu siasatan penemuan bahan letupan buatan sendiri (IED) di Flat Taman Pandan di sini, pada 8 Oktober lalu.

Tangkapan ke atas suspek lelaki berusia 32 tahun dan rakan serumahnya 37 tahun itu dilakukan selepas pihak polis menerima panggilan daripada orang awam memaklumkan terdengar bunyi letupan sebelum menemui satu bungkusan IED di kaki lima tingkat empat flat berkenaan pada jam 1.05 tengah hari.

Menurut Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Mohd Asri Shafie, hasil soal siasat suspek mengaku marah dengan tindakan jirannya yang suka batuk setiap kali dia melalui kaki lima rumah lelaki warga emas itu.

Jelasnya, lelaki bujang itu turut mengaku belajar membuat bahan letupan serta pistol itu menerusi internet manakala bahan-bahan pula diperoleh menerusi platform e-dagang. – MalaysiaGazette