AMLA MACC Senior Enforcer US$6.94 million MEIO Hasanah case item Eric Chang 4 years old boy murder

Oleh: Dr. Siti Aisyah Samudin & Dr. Hanira Hanafi

PADA asasnya, Undang-undang Kesalahan Jenayah Syariah di Malaysia dikuatkuasakan bagi menangani apa-apa jenis kesalahan berhubung perintah terhadap agama Islam. Hal ini dirujuk menerusi frasa “jenayah terhadap agama” yang ditetapkan dalam Perlembagaan Persekutuan melalui Jadual Kesembilan, Senarai II Senarai Negeri. Dalam konteks kesalahan Syariah, Akta Tatacara Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan), 1997 menjelaskan istilah “kesalahan” sebagai apa-apa perbuatan atau peninggalan yang boleh dihukum oleh mana-mana undang-undang bertulis yang mengawal selia kesalahan terhadap rukun agama Islam di mana Mahkamah Syariah berbidang kuasa.

Berbeza dengan undang-undang sivil, tafsiran perbuatan jenayah dalam Kanun Keseksaan mempunyai pengertian yang lebih umum, iaitu perbuatan yang dikawal selia dan mampu untuk didakwa di bawah Kanun Keseksaan (Akta 574). Hal ini bermaksud, setiap kesalahan yang dilakukan oleh seseorang individu terhadap individu lain yang termaktub di bawah Akta 574 ini, hendaklah dibicarakan dan dihukum berpandukan kepada akta persekutuan yang berbidang kuasa dalam menetapkan hukuman bagi kesalahan tersebut. Dalam konteks ini, jelas terzahir bahawa wujud dua sistem mahkamah yang memiliki kuasa untuk mendengar, membicara dan menjatuhkan hukuman ke atas orang-orang Islam, setakat kepada kuasa yang diberi oleh Perlembagaan Persekutuan ke atas mahkamah-mahkamah ini.

Kesan pertindihan kuasa
Pertindihan dalam senarai kesalahan di bawah kedua-dua undang-undang ini membuka ruang dan peluang untuk pihak-pihak mencabar kedudukan undang-undang jenayah syariah. Tahun 2019 melalui kes Iki Putra sebagai contoh, telah memperlihatkan kesan pertindihan kesalahan yang membawa kepada bangkitnya trend cabar bidang kuasa mahkamah syariah. Dalam kes ini, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 yang memperuntukkan kesalahan dan hukuman terhadap persetubuhan bertentangan dengan hukum tabii adalah bertentangan dengan Perlembagaan.

Keputusan kes ini menunjukkan bahawa selagi wujud peruntukan tentang sesuatu kesalahan jenayah dalam undang-undang Persekutuan, maka sukar untuk negeri mengadakan atau menggubal peruntukan berhubung kesalahan-kesalahan jenayah syariah walaupun kesalahan itu adalah dalam kategori kesalahan yang dilakukan oleh orang penganut agama Islam terhadap “perintah agama” itu. Susulan keputusan Mahkamah Persekutuan yang telah membenarkan permohonan kes Iki Putra Mubarak pada 2021, isu yang sama nampaknya turut berbangkit dalam kes lain yang dilaporkan pada 25 Mei 2022. Dalam kes terbaharu, Nik Elin Zurina Nik Abul Rashid telah memfailkan permohonan untuk membatalkan 20 kesalahan jenayah Syariah Negeri Kelantan. Antaranya termasuk liwat, persetubuhan dengan mayat dan bukan manusia, musnahkan tempat ibadat, judi, arak dan banyak lagi. Permohonan itu dibuat bersandarkan kepada keputusan kes Iki Putra atas justifikasi bahawa Negeri Kelantan tiada kuasa untuk menggubal undang-undang tersebut.

Keputusan dalam kes Iki Putra tampaknya seumpama memberi gambaran awal “menutup pintu” kepada hasrat dan cadangan ke arah pelaksanaan undang-undang berkaitan hudud dan qisas di negara ini. Hal ini berikutan kesalahan hudud seperti mencuri (sariqah), merompak (hirabah), kesalahan qisas seperti membunuh (al-qatl) juga terdapat dalam Kanun Keseksaan. Pun begitu, impak yang perlu lebih dibimbangi adalah apabila akta/enakmen kesalahan jenayah syariah di semua negeri akan mula dan terus dicabar. Hal ini seperti teori kesan domino apabila satu peruntukan di bawah enakmen kesalahan jenayah syariah negeri dicabar dan dibatalkan, turut membuka peluang kepada terbatalnya juga enakmen kesalahan jenayah syariah di lain-lain negeri.

Apa seterusnya?
Dalam konteks kesalahan-kesalahan yang diperuntukkan dalam Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kelantan 2019 (EKJSK 2019) yang turut diperuntukkan dalam Kanun Keseksaan, percanggahan yang jelas boleh dilihat adalah dari aspek agihan kuasa antara negeri dan Persekutuan sebagaimana dinyatakan dalam Perlembagaan Persekutuan. Hal ini diperuntukkan dalam Perkara 74 yang memperuntukkan agihan kuasa antara negeri-negeri dan Persekutuan berdasarkan Jadual Kesembilan. Hal ini bermaksud, sekiranya sesuatu undang-undang dibuat di luar bidangkuasanya, undang-undang itu adalah didapati bertentangan dengan Perlembagaan dan terbatal setakat yang bertentangan.

Selain itu, peruntukan kesalahan yang dipinda di dalam EKJSK 2019 boleh dianggap bercanggah dengan Perlembagaan lantaran wujud peruntukan kesalahan yang keluar /melampaui dari bidangkuasa yang diberi oleh perlembagaan persekutuan, serta bertindan dengan peruntukan kesalahan jenayah lain yang terkandung dalam undang-undang persekutuan seperti Kanun Keseksaan dan undang-undang persekutuan yang lain. Peruntukan ini juga didapati bercanggah dengan butiran 1, Senarai Negeri yang mengehadkan kuasa membuat undang-undang jenayah Islam setakat mana ia tidak berkaitan dengan perkara-perkara yang termasuk dalam Senarai Persekutuan.

Pun begitu, masih terdapat ruang bagi mempertikai canggahan ini. Jika satu kesalahan di bawah akta/enakmen kesalahan jenayah syariah dianggap bercanggah dengan undang-undang persekutuan, maka undang-undang ke atas kesalahan judi, zina, musahaqah yang sedia ada juga akan terbuka kepada canggahan. Perkara ini menimbulkan konflik perundangan berterusan pada masa akan datang sekiranya terus dicabar dan dipertikaikan. Meski pun Mahkamah Agung telah memutuskan bahawa tindakan plaintif dalam kes Mamat bin Daud lwn Kerajaan Malaysia, begitu juga dalam Sukma Darmawan Sasmitaat Madja lwn Ketua Pengarah Penjara Malaysia & Anor [1998] MLJ 742 tiada hubung kait dengan keselamatan awam yang tertakluk kepada bidangkuasa Persekutuan, namun peruntukan baharu dalam EKJSK 2019 ini bakal membuka ruang kepada perubahan keputusan hakim pada masa akan datang.

Cadangan
Inilah sebabnya YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) menyeru pihak berkuasa agama Islam negeri, badan-badan berkanun berkaitan agama Islam dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan agama diseru terlibat dalam kes berkaitan Nik Elin Zurina lawan Kerajaan Kelantan sama ada sebagai pemerhati (watching brief), pencelah (intervener), atau sahabat mahkamah (amicus curiae). Ini kerana, realitinya, isu utama yang menjadi polemik bukanlah berkenaan hukuman, namun berkenaan bidang kuasa undang-undang Islam yang terus terancam kepada cabaran dan penyempitan kuasa.

Keputusan kes sebagaimana dalam kes Iki Putra juga bakal mengurangkan bidang kuasa raja-raja untuk melihat penguatkuasaan enakmen jenayah syariah. Setiap negeri juga seharusnya mengambil tindakan secara drastik dan holistik bagi meneliti dan
mengkaji semula keseluruhan peruntukan undang-undang jenayah Syariah sedia ada, bagi memastikan undang-undang jenayah syariah tidak lagi dicabar dan diperkotak-katikkan oleh pihak-pihak berkepentingan. Meski pun telah wujud Perkara 121 (1A) dalam Perlembagaan Persekutuan, namun ianya tidak menjamin akan digunakan oleh hakim di mahkamah sivil sebagai suatu keistimewaan bagi bidangkuasa eksklusif mahkamah syariah.

Sekiranya cabaran ke atas keabsahan peruntukan undang-undang syariah sering dibangkitkan, hal ini memberi implikasi besar ke atas keputusan mahkamah yang menyifatkan kesalahan berkenaan dengan agama. Hal ini memberi tafsiran bahawa peruntukan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri-Negeri adalah tidak berpelembagaan sekaligus tidak mempunyai fungsi dan peranan dalam usaha membendung kesalahan-kesalahan terhadap agama dalam kalangan umat Islam.

Dalam hal ini, terdapat beberapa kesalahan yang didapati bertindih dengan undang-undang persekutuan sedia ada seperti memusnahkan atau mencemarkan tempat ibadat, liwat, gangguan seksual, kata-kata memecahkan keamanan, apa-apa yang mengkahayalkan dan persetubuhan dengan bukan manusia. Hal ini bakal mengundang konflik bidangkusa mahkamah yang berpanjangan serta membuka ruang dan peluang bagi pihak-pihak mencabar kesalahan-kesalahan dalam Enakmen Kesalahan Jenayah
Syariah Negeri-Negeri yang memperuntukkan kesalahan-kesalahan berhubungan dengan agama.

Situasi sebegini pastinya akan memberikan cabaran yang besar dalam usaha memartabatkan undang-undang jenayah syariah di Malaysia. Justeru, mana-mana enakmen kesalahan jenayah syariah negeri yangberhasrat untuk dibuat pindaan di dalamnya, amat perlu untuk dirujuk dan dinasihati oleh pakar-pakar perundangan syariah negara bagi meneliti kesesuaian pindaan tersebut sekaligus membuat persediaan awal dari aspek kesediaan penguatkuasaan dan pelaksanaannya. Oleh itu, dalam usaha menyebarkan dan mengembalikan kedaulatan undang-undang jenayah syariah yang akan dilihat sebagai undang-undang yang relevan dan realistik, amat perlu kepada proses pindaan dan penambahbaikan sekali gus mengurangkan konflik perundangan yang tiada berkesudahan.


Para penulis merupakan Pensyarah Kanan di Jabatan Syariah dan Undang-undang, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya.