SUBANG – Sebuah pesawat milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah melakukan pendaratan cemas di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah hari ini.
Bahagian Unit Perhubungan Awam TUDM menerusi satu kenyataan hari ini telah mengesahkan mengenai perkara tersebut.
“Pesawat jenis Beechcraft B 200T melaksanakan pendaratan cemas di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah dekat sini pada jam lebih kurang 1 tengah hari.
“Pesawat No 16 Skuadron tersebut membawa empat anak kapal yang sedang melaksanakan latihan penerbangan semasa kejadian itu,” kata TUDM.
Tambahnya, pesawat itu berlepas dari Pangkalan Udara Subang pukul 11.27 pagi tadi.
“Semua anak kapal yang terlibat dalam latihan penerbangan itu kini berada dalam keadaan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan dalam insiden itu.
“Berikutan insiden itu, TUDM akan menubuhkan satu pasukan penyiasatan bagi mengenal pasti punca kejadian,” tegas TUDM.-MalaysiaGazette