KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia telah membuat persiapan rapi bagi menjamin keselamatan dan ketenteraman awam di dalam dan luar kawasan sekitar Stadium Nasional Bukit Jalil menjelang perlawanan akhir Pestabola Merdeka 2023 antara Malaysia menentang Tajikistan jam 9 malam esok.
Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Zam Halim Jamaludin berkata, semua pintu masuk ke dalam stadium akan dibuka pada jam 6 petang dan dijangkakan lebih 45,000 penyokong hadir ke stadium untuk menyaksikan perlawanan akhir tersebut pada malam Selasa ini.
Katanya, persiapan rapi dibuat untuk menjamin keselamatan dan ketenteraman awam melibatkan pelbagai jabatan dan unit dalam PDRM termasuk dari IPD Cheras.
“Sebagai langkah keselamatan, pemeriksaan tubuh badan, beg serta barangan akan dilakukan di setiap pintu masuk dan juga selepas memasuki pekarangan stadium.
“PDRM ingin menegaskan bahawa kami tidak akan bertanggungjawab terhadap barang larangan yang dirampas daripada penyokong semasa pemeriksaan di pintu masuk ataupun dalam kawasan pekarangan stadium,” katanya dalam kenyataan hari ini menjelang perlawanan esok.
Tambah beliau, senarai barang terlarang yang tidak dibenarkan untuk dibawa masuk ke dalam stadium adalah mercun, bunga api, suar; topi keledar, laser pen; sebarang objek tajam iaitu besi atau kayu; senjata parang dan lain-lain yang merbahaya.
Katanya, turut dilarang adalah minuman keras; payung dan tongkat; powerbank; botol air; pemetik api atau mancis; rokok, rokok elektronik atau vape, serta bendera negara lain yang tidak berkaitan dengan perlawanan tersebut.
Untuk menjamin kelancaran lalu lintas sebelum semasa dan selepas perlawanan bola sepak di stadium, polis menasihati orang ramai agar menggunakan pengangkutan awam ke stadium.
Pada masa yang sama beliau turut meminta orang awam mengelak daripada menggunakan jalan-jalan di sekitar stadium jika tidak bertujuan menonton perlawanan bola sepak bagi mengelak kesesakan jalan raya.
“Selain itu, sila patuhi arahan anggota polis bertugas di lapangan dan sentiasa sabar, berhemah dan bertolak ansur ketika sedang memandu kenderaan anda.
“Pengguna juga tidak dibenarkan sama sekali untuk meletakkan kenderaan di bahu jalan kiri dan kanan sekitar laluan masuk dan keluar stadium dan tindakan saman serta tunda akan diambil terhadap kenderaan yang menghalang lalu lintas.
“Paling penting, orang ramai diingatkan agar menjaga tatasusila serta tidak melakukan provokasi melampau sehingga mencetuskan kekacauan sama ada semasa atau selepas perlawanan bola sepak tersebut,” tegasnya. – MalaysiaGazette