Muhammad Izzat Abdul Wahab

KUANTAN – Seorang rakyat Malaysia maut dalam tahanan imigresen Myanmar selepas berjaya diselamatkan daripada menjadi mangsa pemerdangan manusia di negara tersebut.

Muhammad Izzat Abdul Wahab, 28 disahkan meninggalkan dunia pada 14 Oktober lalu di Pusat Imigresen Tachileik di Myanmar.

Mangsa dipercayai diselamatkan oleh wakil Malaysia International Humanitarian Organisation (MHO), Azizul Syafik, di sebuah hotel di Myanmar dengan bantuan rakyat Malaysia di sana sebelum diserahkan kepada imigresen Myanmar.

Muhammad Hasmanizam Abdul Wahab berkata, beliau merima perkhabaran adiknya selepas dihubungi MHO.

Tambah beliau, Muhammad Izzat menaiki penerbangan ke Bangkok sebelum sindiket menculiknya dan membawa adik beliau ke Myanmar melalui jalan darat, namun berjaya diselamatkan sekumpulan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

”Adik saya kemudiannya dihantar ke tahanan imigresen bagi tujuan soal siasat dan proses mahkamah dalam tempoh seminggu.

”Bagaimanapun mangsa dilaporkan meninggal dunia dalam tempoh dua hari menjadi tahanan. Kami menerima rakaman video arwah di sana,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.

Menurut laporan perubatan di Myanmar, mangsa disahkan meninggal dunia akibat sakit jantung, namun beliau tidak ada sebarang penyakit dan sihat.

Menurut Hasmanizam, jenazah mangsa akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Yangon.

Beliau sekeluarga mengharapkan kedutaan Malaysia membantu urusan pengurusan jenazah Muhammad Izzat memandangkan kekangan rakyat luar yang tidak dibenarkan masuk ke Taichilek.

Terdahulu, difahamkan mangsa dijanjikan tawaran pekerjaan sebelum dilaporkan hilang pada 7 Oktober.

Allahyarham Muhammad Izzat merupakan anak bongsu daripada lapan beradik dan meninggalkan seorang balu dan dua anak lelaki berusia 6 dan 4 tahun.- MalaysiaGazette