Ketua jurulatih Tajikistan, Petar Segrt bersama pasukannya menjalani sesi latihan bagi menghadapi perlawanan akhir Pestabola Merdeka 2023 menentang pasukan Harimau Malaya ketika di padang SDFC, Bukit Jelutong. Foto MOHD ADZLAN, 16 OKTOBER 2023.

SUBANG – Tajikistan tidak mengambil mudah pertemuan dengan Malaysia pada aksi final kejohanan Pestabola Merdeka walaupun pasukannya mempunyai rekod bersih menewaskan pasukan negara sebelum ini.

Ketua Jurulatihnya, Petar Segrt yang berhasrat merosakkan rancangan Harimau Malaya menjulang piala di hadapan penyokong sendiri berkata, beliau tidak memandang rendah kekuatan pasukan Malaysia yang memiliki pemain yang berkualiti.

“Walaupun kami memiliki rekod bersih menewaskan skuad Malaysia dan Piala Raja Thailand September 2022 di Bangkok, skuad yang akan kami bertemu esok di bawah kendalian Kim Pan Gon adalah sangat berbeza.

“Kami kali ini datang tanpa tujuh pemain kesebelasan utama dan rata-rata kebanyakanya adalah pemain muda purata umur 21.1 tahun, mungkin antara pasukan termuda di dunia ketika ini,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Pada aksi final Piala Raja Thailand, Tajikistan menewaskan Malaysia menerusi penentuan sepakan penalti 3-0, selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan pada perlawanan itu.

Menurut Segrt, sejak dua tahun kebelakangan ini, Malaysia dan juga Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) banyak melabur dalam bola sepak sejak dua tahun lalu dan kualiti permainan Harimau Malaya adalah memberangangkan di penbtas Asia.

Beliau juga mengharapkan pengadil pada malam esok dapat mempertimbang dan mengambil kira faktor keadaan padang dalam membuat keputusan.

“Saya tahu isu pasal padang yang dibangkitkan oleh pasukan sahabat kita dari India, pemain pun bergelut untuk lari atas padang mengejar bola malam Jumaat lalu.

“Jadi, saya harap pengadil tidak sewenang-wenangnya memberikan sepakan penalti semasa permainan final malam esok,” ujarnya.

Sementara itu, Segrt yang menghidap demam sejak semalam dapat menyertai pasukannya final malam esok bagi merasai sendiri sorakan Ultras Malaya.

“Saya sangat berharap dapat turun ke stadium esok sebab saya sangat suka dengan persekitaran stadium, semangat rakyat Malaysia serta aksi Harimau Malaya menewaskan India sangat memberangsangkan, jadi tak sabar untuk tengok aksi mereka atas padang. – MalaysiaGazette