Sim Chon Siang

KUANTAN – Kementerian Luar Negeri diminta untuk mengambil tindakan tegas dan berstrategi bagi menangani sindiket pekerjaan palsu luar negara terhadap rakyat Malaysia di Myanmar.

Exco Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Pahang, Sim Chon Siang berkata, isu berkenaan perlu diselesaikan kerana lebih 1,000 mangsa masih terperangkap di negara berkenaan sehingga kini.

Tambah beliau, pemerdagangan manusia menerusi skim pekerjaan semakin menjadi-jadi sehingga menyebabkan kematian di negara itu ketika proses menyelamat termasuk yang terbaharu melibatkat rakyat Pahang yang maut ketika dalam tahanan Imegresen di Taichilek, Myanmar pada Sabtu lalu.

Menyifatkan negara itu mengamalkan sistem mafia, Chon Siang berpendapat, tugasan menyelamat mangsa perlu dilakukan di sempadan Thailand berbanding di Myanmar.

”Ini kerana sindiket pekerjaan palsu yang berleluasa berlaku di Myanmar tidak dapat diselesaikan berikutan dakwaan penguat kuasa bersengkongkol, semua tidak boleh dipercayai.

”Kementerian Luar Negeri perlu bincang dengan antara negara yang terlibat Kemboja, Thailand Myanmar, Laos bagi melaksanakan sinergi untuk membantu menyelesaikan isu ini.

”Nasihat saya jika NGO apabila hendak menyelamatkan mangsa, tindakan bijak harus diambil bagi menjamin keselamatan mangsa bukan sampai mengorbankan mangsa,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Beliau berkata demikian ketika ditemui ketika menziarahi keluarga mangsa pemerdangangan manusia di Kuantan hari ini.

Chon Siang berkata, jika silap percaturan menyelamat, mangsa pemerdagangan akan dicederakan secara fizikal dan mental apabila tertangkap semasa usaha melarikan diri daripada sindiket berkenaan.

Justeru, katanya, semua individu perlu mengelakkan diri daripada terjebak dengan skim penipuan kerja luar negara meskipun ditawar pendapatan lumayan.

Menceritakan detik cemas pengalaman menyelamatkan mangsa sejak April 2022 lalu, Chon Siang sudah berjaya membantu 98 mangsa di Kemboja di sempadan Thailand.

”Saya sudah masuk Bangkok 29 kali dan Kemboja sebanyak lapan kali. Keadaan sana sangat sukar, berisiko tinggi. Tolong jangan datang ke Myanmar jika ditawar pekerjaan dengan gaji lumayan, anda akan terjerat. Sekarang pun bahaya dengan trip persendirian bercuti di sana,” katanya.

Terdahulu seorang rakyat Malaysia maut dalam tahanan Imigresen Myanmar selepas berjaya diselamatkan daripada menjadi mangsa pemerdagangan manusia menerusi sindiket pekerjaan palsu.

Muhammad Izzat Abdul Wahab, 28, disahkan meninggal dunia pada 14 Oktober lalu di Pusat Imigresen Tachileik di Myanmar setelah berada dua hari dalam tahanan.

Mangsa dipercayai berjaya diselamatkan oleh Azizul Syafik, wakil pertubuhan Malaysia International Humanitarian Organisation di sebuah hotel di Myanmar dengan bantuan rakyat Malaysia di sana. – MalaysiaGazette