KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi menegaskan, kerajaan tidak akan mengizinkan pengulangan tabiat yang boleh merugikan negara.
Beliau berkata, agensi-agensi bumiputera yang diwujudkan perlu diurus dengan baik dan perkara itu telah pun ditekankan dalam sidang Parlimen sebelum ini.
Menurutnya, sering kali orang yang bicara soal kepentingan untuk menyelamatkan orang Melayu merupakan mereka yang paling khianat dan sering mengaut keuntungan besar.
“Kalau dilihat dalam kerangka dasar ekonomi baharu, dari segi mobiliti sosial anak-anak yang tidak mempunyai peluang dapat meningkat menjadi golongan profesional yang membanggakan.
“Tetapi dari sudut pengurusan perniagaan kena ada anjakan…satu pihak kita berikan kesempatan hanya kepada beberapa orang terpilih, memperkaya mereka tapi tak ada agenda khas mereka mengagihkan kekayaan itu kepada syarikat lain, kepada bumiputera.
“Satu pihak lain pengurusan amat bobrok sehingga merosakkan dan merugikan…pengalaman ini menyakitkan.
“Kita lihat umpamanya Felda memerlukan suntikan RM8.3 bilion kerana pengurusan yang lebih dan tatakelola yang lemah…paling terakhir kita ada lagi melibatkan syarikat yang memerlukan suntikan RM2.7 bilion hingga RM23 bilion daripada kerajaan untuk menyelamatkan daripada terlepas dari tangan bumiputera,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Unit Tambahan Amanah Hartanah Bumiputera di sini hari ini.
Hadir sama pada majlis itu Pengerusi Pelaburan Hartanah Berhad, Tan Sri Ahmad Nizam Salleh.
Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, kerajaan tidak boleh lagi mengizinkan hal itu berterusan sebaliknya pengurusan profesional perlu dipertanggungjawabkan sepenuhnya.
Tegas beliau, jika berlaku penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan, seluruh tindakan keras akan diambil terhadap mereka kerana ia bukan sahaja mengkhianati amanah biasa tetapi mengkhianati amanah yang sangat diharapkan oleh bumiputera.
“Justeru, saya ingin menyatakan penghargaan pada hari ini kerana sekurang-kurangnya satu badan di antara lain termasuk PNB dan beberapa lain lagi.
“Tetapi yang membanggakan kita tidak semua pengurusan atau profesional yang diamanahkan untuk menjaga kepentingan bumiputera itu mencatat rekod yang menghiraukan.
“Dalam kes ini, saya ucap tahniah kerana (AHB) dapat pertahankan bukan sahaja keberuntungan tetapi, pengurusan yang dapat dibanggakan,” ujarnya.
Pada majlis itu, Anwar turut mengumumkan penambahan RM1 bilion unit Skim Amanah Hartanah Bumiputera (AHB) untuk ditawaran bagi langganan umum.
AHB merupakan sebuah unit amanah patuh syariah berlandaskan hartanah yang pertama di Malaysia.
Unit itu disokong dengan hartanah-hatanah komersial utama yang disewakan dan menikmati aliran pendapatan sewaan secara tetap. – MalaysiaGazette