Suspek yang memakai pakaian lokap berwarna jingga direman tujuh hari oleh Mahkamah Majistret Melaka, Ayer Keroh hari ini.

MELAKA – Mendakwa dirinya bomoh yang mampu merawat sihir namun akhirnya merogol dan mencabul mangsanya.

Itu taktik keji seorang jurulatih Muay Thai berusia 50 tahun yang juga bapa kepada tiga anak apabila sanggup menjadikan seorang pelajar Tingkatan 4 sebagai pemuas nafsunya.

Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, modus operandi digunakan suspek berasal dari Tumpat, Kelantan itu  dengan memperkenalkan diri sebagai pakar perubatan tradisional.

“Ogos lalu, mangsa berusia 16 tahun didatangi suspek yang mendakwa kedai makan mak ciknya di Batu Berendam mengalami gangguan sihir dan menawarkan diri untuk membantu.

“Selang beberapa hari kemudian, sekitar 12 tengah malam, suspek datang ke rumah pengadu di Kampung Sungai Putat sebelum membawa pengadu, ibu dan pak ciknya ke kawasan semak berhampiran sebuah pasar raya di Malim untuk berubat.

“Suspek yang menggelar dirinya sebagai Abang Mi kemudian menyuruh ibu dan pak cik pengadu keluar untuk membeli makanan dan meninggalkan mereka berdua di kawasan semak sebelum tiba-tiba merogol pengadu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Zainol, suspek kemudian meminta pengadu supaya tidak menceritakan hal itu kepada sesiapa dan dituruti pengadu kerana ketakutan.

“Suspek selepas itu kerap datang ke rumah pengadu dengan tujuan untuk mengubatinya sehingga telah dirogol oleh suspek sebanyak empat kali di tempat lain bermula Ogos sehingga Oktober.

“Bagaimanapun, pengadu akhirnya membuat laporan polis kerana bimbang berlaku kejadian lain di masa hadapan,” katanya.

Mengulas lanjut, Zainol berkata, pengadu yang juga mangsa merupakan anak bongsu daripada tiga adik-beradik kini masih mendapatkan rawatan di hospital susulan kejadian.

“Bertindak hasil maklumat, suspek berjaya ditangkap kira-kira pukul 4.30 pagi tadi di kawasan latihan Muay Thai di Batu Berendam  dan dibawa ke mahkamah untuk permohonan tahanan reman hari ini,” katanya.

Sementara itu, Majistret Khairunnisak Hassni membenarkan lelaki itu direman sehingga 23 Oktober ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast