PDRM
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kean Wong, pengarang  buku ‘Rebirth: Reformasi, Resistance, And Hope In New Malaysia‘, yang diharamkan kerana gambar kulit buku terbabit didakwa menghina Jata Negara telah direman hari ini.

Kean Wong yang disiasat sejak tahun 2020 telah ditahan polis semalam di Kelana Jaya semasa dalam perjalanan untuk memperbaharui dokumen perjalanannya di Pejabat Imigresen kawasan tersebut.

Dia kini sedang disiasat di bawah Akta Hasutan 1948.

Peguamnya, Ivan Teng yang ditemui pemberita di ibu negara berkata, Kean Wong direman selama sehari sehingga esok.

“”Polis optimis boleh melengkapkan kertas siasatan dalam tempoh reman sehari.

“Pegawai penyiasat kes ini memaklumkan kepada kami bahawa Kean Wong mungkin dibebaskan lewat petang hari ini (Selasa),” katanya ketika ditemui di hadapan IPD Dang Wangi sebentar tadi.

Tambah Ivan Teng, berdasarkan tempoh reman yang dibenarkan selama sehari itu, polis boleh menahan anak guamnya sehingga 12 tengah hari esok.

“Semasa proses reman tadi, saya dapati polis memohon perintah reman atas tiga sebab iaitu pertama untuk merakam keterangan daripada Kean Wong, kedua mengambil data dari telefon bimbit untuk mendapatkan semula segala mesej bertempoh tiga tahun sejak 2020 dan akhirnya cap jari serta gambar berkaitan kes ini membantu siasatan mereka.

“Secara realistiknya semua perkara ini boleh dibuat dalam masa dua hingga tiga jam secara amnya,” katanya lagi.

Ivan juga menegaskan, mereka kini sedang menunggu penyiasat dari Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Katanya, pihaknya dimaklumkan bahawa SKMM dipanggil untuk proses mengumpul data untuk mendapatkan kata pengguna dan kata kunci.

Pada Jun 2020 buku terbitan Kean Wong mencetuskan kontroversi disebabkan kulit bukunya yang didakwa menghina jata negara.

Kemudian pada 10 Julai 2020, Ketua Polis Negara ketika itu Tan Sri Abdul Hamid Bador dilaporkan berkata, polis sedang mengesan Kean Wong bagi membantu siasatan berhubung kontroversi kulit buku berkenaan.

Ratusan ribu netizen mendesak pihak berkuasa bertindak terhadap perbuatan itu kerana didakwa ia menghina Perlembagaan dan Rukun Negara.

Unit Siasatan Jenayah Terkelas Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman sebelum ini dilaporkan telah menyita lebih 300 naskah buku kontroversi itu.-MalaysiaGazette