PETALING JAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) diberi tempoh 48 jam untuk menyediakan pendidikan kepada dua daripada empat beradik yang kehilangan bapanya, seorang warga Malaysia.
Mereka yang berusia antara 9 hingga 24 tahun menghadapi pelbagai kesekuran berikutan tidak mempunyai kad pengenalan diri, MyKad dan MyKid.
Menurut Aziq Fadyan Fadil Saharudin, semasa berada di Tingkatan 5 pada 2016 beliau tidak dibenarkan menduduki Peperiksaan Pelajaran Malaysia (SPM) di sebuah sekolah di Rantau Panjang, Kelang, Selangor disebabkan tidak mempunyai MyKad.
“Ada suatu ketika selepas saya tercedera dalam kemalangan, saya terpaksa membayar mahal di hospital kerajaan disebabkan tiada kewarganegaraan.
“Saya masih sedih kerana walaupun mencapai keputusan cemerlang semua A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pada tahun 2013, tetapi tidak dibenarkan menduduki SPM.
“Sehingga kini saya kerja sebagai pelayan di restoran sambil mendukung impian dan harapan kerajaan akan mengiktiraf kewarganegaraan kami untuk meneruskan persekolahan,” kata pemuda berusia 24 tahun itu pada sidang media, di sini, hari ini.
Selain Aziq Fadyan, tiga lagi adiknnya, Azreen Batrisya, 22, Azzahra Batrisya,12, dan Azalea Batrisya, 9, turut mengalami masalah kewarganegaraan.
Bapa mereka, Fadil Saharudin merupakan seorang rakyat Malaysia beragama Islam yang telah meninggal dunia manakala ibunya seorang warga Indonesia menetap di negara ini.
Azzahra Batrisya dan Azalea Batrisya ketika ini tidak bersekolah berikutan tidak mempunyai dokumen kerakyatan dan mungkin menghadapi nasib yang sama dengan abangnya itu dengan dinafikan untuk menduduki peperiksaan SPM pada masa depan jika masalah tersebut tidak ditangani.
Malah Azreen Batrisya pernah diingatkan oleh gurunya semasa berdaa di Tingkatan 5 pada 2018 bahawa dia tidak boleh menduduki peperiksaan SPM sekiranya mempunyai masalah dokumen kerakyatan.
Berikutan itu, Peguam Lawyer for Liberty N. Surendran yang kesal dengan nasib yang menimpa keempat-empat beradik itu menuntut kerajaan mengiktiraf kerakyatan mereka selain dibenarkan bersekolah serta merta.
“Saya tidak mahu adakan sidang media berulang kali, sebaliknya memberikan masa 48 jam sahaja untuk KPM, Menterinya Fadhlina Sidek untuk memastikan anak-anak ini segera bersekolah selewat-lewatnya pada Isnin depan (23 Oktober 2023).
“JPN (Jabatan Pendaftaran Negara) juga diberi tempoh seminggu untuk panggil dan segera mengiktiraf kerakyatan empat anak-anak ini berlunaskan perlembagaan,” ujarnya.
Menurut Surendran, secara automatik kerajaan patut mengiktiraf adik beradit itu kerana arwah bapa mereka seorang warganegara Malaysia dan keempat-empat individu tersebut tidak pernah tinggalkan Malaysia.
“Ibu bapa mereka bernikah dan melangsungkan perkahwinan mereka di negara ini pada tahun 1998 sementara semua empat anak ini dilahirkan dan dibesarkan di sini tetapi apa yang pelik kerajaan menafikan hak kewarganegaraan anak mereka sampai sekarang.
“Perlembagaan Perekutuan jelas menyebut di bawah Artikel 14(1)(b) dan Bahagian II Jadual Kedua Seklsyen 1(a) dan 1(e) dilahirkan dan dibesarkan di Malaysia oleh seorang bapa warganegara Malaysia, mereka bukan warganegara mana-mana negara lain kecuali Malaysia dan oleh itu anak-anak berhak mendapat kewarganegaran Malaysia,” katanya.
“Pada Jun 2023 adik beradik ini sekali lagi pergi merujuk JPN untuk mendapatkan sijil kewarganegaraan dan kad pengenalan Mykid dan Mykad biru dengan mengemukakan dokumen termasuk sijil nikah ibu bapanya namun ditolak juga,” katanya.
Surendran berkata, jika perkara tersebut tidak dapat diselesaikan, pihak akan mengambil tindakan sewajarnya dan beliau tidak mahu mengheret mana-mana pihak ke mahkamah kerana ia mengambil masa yang lama. – MalaysiaGazette