Pengembara luar negara alat pengimbas suhu badan ketika Pelaksanaan 'Quick Response Team' (QRT) Mengatasi Kesesakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang. Foto MUHD NA’IM, 01 FEBUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Sektor pelancongan dijangka dapat melonjakkan ekonomi negara melalui inisiatif-inisiatif yang dibentangkan oleh perdana menteri dalam Belanjawan 2024.

Justeru, sektor pelancongan perlu menggiatkan usaha bagi meningkatkan daya saing dan produktiviti terutamanya bagi persediaan Tahun Melawat Malaysia 2026 dengan sasaran ketibaan 26.1 juta pelancong asing dan anggaran perbelanjaan domestik sebanyak RM97.6 bilion.

Ketua Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Zahid Ismail yakin Belanjawan 2024 yang dibentangkan mampu melonjakkan pertumbuhan produktiviti sektor pelancongan yang telah menyumbang 14 peratus atau RM251.5 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan 23.4 peratus kepada keseluruhan guna tenaga dengan 3.61 juta orang bekerja pada tahun 2022.

Menurut beliau, dalam Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12), sektor perkhidmatan diunjur berkembang sebanyak 5.7 peratus dalam tempoh akhir RMKe-12, disokong oleh aktiviti berkaitan pengguna seperti penginapan serta makanan dan minuman, dan peruncitan.

Bagi mencapai sasaran ini, pemulihan industri pelancongan perlu dipercepatkan bagi menarik minat pelancong luar negara untuk datang ke Malaysia terutamanya kepada pelancong bernilai tinggi.

Menurutnya, kerjasama antara kerajaan, penggiat industri dan rakyat juga amat penting agar industri pelancongan di Malaysia dapat terus berkembang, produktif dan berdaya saing.

Sementara itu, Pengerusi Nexus Produktiviti Pelancongan (TPN), Rohizam Md. Yusoff berkata, TPN, dengan sokongan MPC dan Kementerian Pelancongaan, Seni dan Budaya (MOTAC) komited melaksanakan inisiatif memulihkan industri pelancongan bagi menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan utama dunia dengan mempertingkatkan kualiti produk dan perkhidmatan serta mempamerkan identiti Malaysia sebagai sebuah destinasi pelancongan bertaraf dunia.

Tambah beliau lagi, antara cabaran yang perlu ditangani oleh pihak industri pelancongan ialah kurangnya adaptasi teknologi dikalangan pengusaha pelancongan terutamanya untuk beralih ke pemasaran digital.

Selain itu, faktor peraturan agar lebih kondusif bagi menyokong usaha mencergaskan semula aktiviti pelancongan supaya industri pelancongan negara lebih mampan dan berdaya tahan.

“Pihak industri juga berharap lebih penekanan diberikan kepada industri pelancongan bukan sahaja dari segi belanjawan tetapi juga menyediakan persekitaran perniagaan yang baik dan mengurangkan kos perniagaan bagi membolehkan pihak industri melabur dan membangunkan produk yang lebih inovatif dengan kualiti tingg

“Kami berharap kerjasama erat kerajaan dan industri akan terus membawa manfaat kepada industri pelancongan dan seterusnya dapat menambahbaik kedudukan Malaysia di dalam World Competitiveness Ranking (WCR) untuk Indikator Perbelanjaan Pelancongan”, kata Rohizam lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast