SERDANG – Sebuah kereta Tesla yang diparkir di Jalan Puchong Jaya, Puchong, dekat sini, terbakar malam tadi.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai insiden tersebut pada pukul 8.32 malam.

Katanya, bertindak atas maklumat seramai tujuh anggota dan dua jentera pemadam Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Puchong dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Sejurus di lokasi, pemeriksaan bomba mendapati kebakaran membabitkan sebuah kereta jenis elektrik jenis Tesla yang terbakar sebanyak 70 peratus namun tidak melibatkan mangsa.

“Tindakan anggota dengan menggunakan satu aliran salur pam air tangki jentera api dan berjaya memadamkan kebakaran kereta itu sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, kes kebakaran itu diserahkan kepada pihak forensik untuk siasatan lanjut. – MalaysiaGazette