GEORGE TOWN – Lembaga Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) memutuskan untuk menamatkan perjanjian usaha sama dengan pihak UMECH Land Sdn. Bhd. (UMECH Land) berhubung penjualan tanah di Byram, Batu Kawan.
PDC dalam satu kenyataan berkata, perubahan majoriti struktur ekuiti syarikat UMECH Land sehingga berlaku perubahan pihak yang mengawal dan menerajui projek dilaksanakan tanpa memaklumkan dan mendapat kelulusan PDC secara rasmi adalah satu isu yang dipandang serius serta tidak boleh diterima oleh Lembaga PDC.
“Susulan itu, Lembaga PDC memutuskan untuk menamatkan perjanjian usaha sama dengan memberikan notis tiga bulan berdasarkan klausa 19 Perjanjian Usahama PDC – UMECH Land.
“Lembaga PDC telah meneliti kes UMECH Land Sdn Bhd dan mendapati proses pemilihan UMECH Land termasuk penetapan sumbangan tunai, jadual bayaran kepada PDC adalah telus dan selaras dengan dasar PDC.
“Lembaga PDC juga mengambil maklum kolaborasi ini adalah munasabah dan memberi impak positif kepada aliran tunai PDC termasuk dari aspek komersial, dan faedah kepada pembangunan, negeri Pulau Pinang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah kenyataan itu, selepas penamatan kontrak, PDC diarahkan untuk mengiklan secara meluas dengan menggunakan pelbagai saluran media massa melalui Request For Proposal (RFP) untuk cadangan kolaborasi dengan pihak PDC memajukan Taman Perindustrian Batu Kawan 2 (BKIP2).
“RFP ini akan diiklankan oleh PDC di dalam masa terdekat bagi menarik pelabur yang berminat,” katanya.
Media pada 11 Oktober lalu melaporkan Lembaga Pengarah PDC akan menjawab segala persoalan berbangkit berkenaan isu penjualan tanah di Kawasan Perindustrian 2 Batu Kawan (BKIP2), minggu depan.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow yang juga Pengerusi PDC berkata, syarikat itu telah memberi keterangan mengenai projek kolaborasi yang melibatkan Umech Construction Sdn. Bhd. dalam mesyuarat bersama Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri Pulau Pinang.
“MMK mengambil maklum keterangan PDC dan kami serahkan kepada PDC untuk bersidang minggu depan untuk mengambil (apa-apa) keputusan,katanya.
PDC sebelum ini memilih UMECH Construction Sdn Bhd (UMECH) sebagai rakan kerjasama untuk membangunkan tanah seluas 559 ekar di Byram, berhampiran tapak pelupusan sampah Pulau Burung dalam kawasan BKIP2. – MalaysiaGazette