KUALA LUMPUR – Transparency International Malaysia (TI-Malaysia) memuji kesungguhan kerajaan atas pembentangan pindaan Akta Syarikat 2016 dalam persidangan parlimen yang berlangsung pada 10 Oktober yang lalu.
Presidennya, Dr Muhammad Mohan berkata, semakan yang dicadangkan ini, terutamanya bagi memfokuskan pada mekanisme penyelamatan korporat dan penyelarasan dengan piawaian pelaporan antarabangsa mengenai pemilikan bermanfaat, menandakan dedikasi Malaysia untuk meningkatkan ketelusan korporat.
Menurutnya, salah satu langkah penting bagi mengungkap cara kerja korporat Malaysia yang rumit dilihat dapat dirungkaikan melalui penjelasan definisi “pemunyaan benefisial”.
“TI-Malaysia juga melihat perkembangan positif yang menandakan satu lagi kejayaan dalam perjalanan negara Malaysia ke arah ketelusan yang lebih besar dengan adanya pengenalan terhadap “daftar pemunyaan benefisial”.
“Walaupun begitu, ianya mustahak bagi peruntukan baharu yang diperkenalkan ini juga memberi impak kepentingan terhadap masyarakat Malaysia,” katanya dalam kenyataan di sini.
Namun untuk Seksyen 60B (9) RUU yang memberikan kuasa kepada menteri untuk menghadkan akses ke maklumat yang tersedia mengenai pemilikan bermanfaat dalam sebuah syarikat, ujarnya, ia belum jelas bagaimana menteri akan menggunakan kuasa tersebut.
Tetapi, TI-M berpendapat seharusnya tiada sekatan sama sekali dan perlunya penjelasan terhadap kuasa tersebut dan bagaimana ia akan dilaksanakan.
Di samping itu, TI-Malaysia mengambil maklum penalti yang dikenakan kerana tidak mematuhi peruntukan mengenai pendedahan dan rekod pemilikan bermanfaat adalah amat penting supaya hukuman ini berfungsi sebagai pencegahan terhadap ketidakpatuhan.
Muhammad berkata, ketika RUU ini dilanjutkan ke perbincangan kedua dewan perundangan, TI-Malaysia tetap optimis dan berwaspada.
Ia kerana, ketelusan korporat di Malaysia merupakan perkara yang sangat penting dan semua pihak mesti bekerjasama bagi memastikan ianya berjaya dilaksanakan. – MalaysiaGazette