Lim Guan Eng

PULAU PINANG – Pengerusi DAP, Lim Guan Eng berkata, mengikut tradisi parti, isu-isu parti harus  diselesaikan secara dalaman terlebih dahulu sebelum menyatakannya secara terbuka.

Guan Eng dilaporkan Sinchew Daily sebagai berkata demikian apabila mengulas kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow yang meminta orang parti yang mahu “menjatuhkan Chow” supaya kembali kepada (menyokong) Chow.

Guan Eng berkata, semua pemimpin harus menyedari bahawa urusan parti harus diuruskan dalam parti secara dalaman dan ia juga merupakan sesuatu yang pernah dinyatakan oleh Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke.

“Hakikatnya, saya bukan orang yang cakap tentang (kemunculan) seruan menjatuhkan Chow tetapi beliau sendiri  (Kon Yeow) yang berkata demikian. Oleh itu, harus tanya beliau untuk maklumat lanjut.

“Masa itu (Kon Yeow bercakap) saya tidak berada di situ kerana telah meninggalkan majlis lebih awal untuk aktiviti seterusnya. Saya juga tidak membaca laporan secara teliti.

“Biarlah kami memahami apa sebenarnya yang berlaku. Ini sahaja yang boleh saya mengulas,” kata Guan Eng.

Sebelum ini, ketika menghadiri satu majlis bersama Guan Eng, Kon Yeow dilaporkan menyebut kemunculan suara yang mahu “menjatuhkan Chow.”

Katanya, keadaan itu merupakan satu cabaran yang perlu diharungi dan beliau juga mengajak orang parti yang mahu jatuhkan Chow supaya kembali memberi sokongan kepada Chow.

Menurutnya, walaupun sebelum pilihan raya negeri, telah muncul pelbagai laporan dan spekulasi mengenai usaha menjatuhkan Chow atau menggantikannya sebagai ketua menteri.

Ujarnya, walaupun cabaran berkenaan berjaya ditempuhi dan beliau terus menjadi ketua menteri, tetapi keadaan itu tidak bermakna cabaran telah berakhir kerana kebelakangan ini timbul lagi banyak khabar mengenai usaha menjatuhkan Chow

“Jika masih ada orang, tidak kira dalam parti atau luar parti, yang mahu menjatuhkan Chow, maka saya mahu menggunakan platform ini untuk meminta mereka jangan menjatuhkan Chow tetapi kembali kepada (menyokong) Chow,” katanya.

Terlebih dahulu, Anthony berkata, Kon Yeow merupakan seorang pemimpin yang telus dan akan menjelaskan penjualan tanah milik Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC).

Kontroversi timbul apabila agensi kerajaan negeri itu dilaporkan menjual tanah kepada sebuah syarikat pembinaan secara rundingan terus.

Kon Yeow bagaimanapun menjelaskan penilaian wajar telah dijalankan dengan teliti sebelum keputusan dibuat. – MalaysiaGazette