KUANTAN – Ratusan pemandu dan pengusaha lori perdagangan di negeri ini menggesa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) meneliti semula prosedur operasi standard (SOP) penguatkuasaan yang dikenakan terhadap golongan itu.
Menurut wakilnya, Mohd Irwan Shah Ibrahim, 38, peraturan dan syarat-syarat operasi yang dikenakan terhadap pemandu-pemandu itu ada yang sudah ketinggalan zaman dan perlu dikaji semula.
“Sebagai contoh, bagi pengangkutan awam darat, kerajaan ada caj tambahan bahan api mengikut satu kadar harga.
“Tapi kenapa pengangkutan perdagangan, kenderaan bawa barangan tidak dibuat kadar yang standard juga? Kita bukan minta subsidi,” katanya yang ditemui dalam himpunan aman ratusan pemandu lori di Indera Mahkota 14, di sini hari ini.
Bukan menyalahkan, jauh sekali tidak berpuas hati dengan polisi ditetapkan kerajaan, tetapi Irwan berkata, mereka kini terdesak dek SOP penguatkuasaan yang terlalu ketat dan menekan golongan itu.
Subramaniam a/l Manikam, 60 yang menjadi pemandu lori balak sejak 30 tahun lalu turut mengakui dia tertekan sebab operasi penguatkuasaan tidak mengira masa dan terkejar ke sana, sini.
“Contohnya, syarat yang ditetapkan JPJ seperti tinggi, panjang lori, semua kami patuhi. Sejak 40 tahun dahulu tinggi lori ditetapkan 12 kaki, panjang 6 kaki. Tiba-tiba diubah, siapa beri kebenaran? Parlimen terang-terangan tak beri kelulusan,” luahnya.
Lebih mengecewakan, katanya, mereka akan dikenakan demerit jika disaman buat pertama kali dan seterusnya lesen digantung bagi kompaun kali kedua.
Tindakan itu katanya akan menjejaskan pendapatan golongan itu yang perlu menampung perbelanjaan keluarga, selain kos bayaran saman dan lesen yang juga perlu ditanggung mereka.
Justeru, Subramaniam berharap agar pihak berkenaan lebih bertimbang rasa dalam menjalankan operasi yang dikatakan keterlaluan itu.
Pagi tadi, ratusan pemandu lori berkumpul di kawasan berhampiran pintu masuk ke bangunan JPJ Negeri Pahang bagi menyerahkan memorandum yang mengandungi tujuh tuntutan kepada pihak JPJ.
Sementara itu, Pengarah JPJ Pahang, Kamarul Iskandar Nordin yang menerima memorandum itu berkata, ia akan dimajukan kepada pihak berkaitan untuk tindakan selanjutnya.
“Perkara yang terbabit pun ada yang melibatkan dasar. Jadi saya akan panjangkan perkara ini kepada pihak atasan untuk diteliti dan kita akan tengok apa perkembangannya selepas ini,” katanya. – MalaysiaGazette