Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan pada Majlis Perhimpunan Warga Kementerian Kewangan di Kementerian Kewangan, Putrajaya. Foto MUHD NA’IM, 17 OKTOBER 2023.

PUTRAJAYA – Keputusan menarik semula ‘sedekah’ subsidi kepada orang kaya adalah langkah bijak dalam menjimatkan sebahagian besar kewangan negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelaksanaan dasar baharu itu membuktikan kerajaan bersifat adil kerana golongan maha kaya bukan orang susah yang patut diberi bantuan.

“Selama ini negara melalui satu kecelaruan dasar yang tidak patut diteruskan apabila semua golongan mendapat bantuan.

“Subsidi bermaksud kurangkan beban rakyat tapi apakah ia patut diberi kepada maha kaya? Kalau kamu kaya tidak perlu kita beri sedekah kerana subsidi umpama sedekah daripada kerajaan,” katanya ketika berucap dalam Perhimpunan Warga Kementerian Kewangan bersama Perdana Menteri, di sini hari ini.

Beliau yang juga Menteri Kewangan turut melahirkan rasa hairan apabila ada segelintir pihak mengecam tindakan itu kononnya kerajaan zalim terhadap golongan berkenaan.

“Kita bukan kenakan cukai ke atas mereka, kita cuma tarik sedekah. Adakah tindakan itu salah? Ini dasar yang adil tapi terpulanglah jika masih ada yang mahu menyerang isu terbabit kerana saya faham ini politik demokrasi,” ujarnya.

Jelasnya, inisiatif itu menjadi satu keperluan memandangkan jumlah pemberian subsidi mencecah RM81 bilion iaitu antara paling tinggi di rantau ini.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan bayaran insentif awal Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSP) sebanyak RM2,000 yang diumumkan pada Belanjawan 2024 adalah ganjaran adil kepada penjawat awam.

Malah, Anwar menyifatkan jumlah itu masih kecil jika dibanding dengan tugasan mereka dan seharusnya isu berkenaan tidak dikritik orang ramai.

Sebelum ini, beliau mahu kajian sistem SSP disiapkan pertengahan tahun depan agar struktur gaji baharu penjawat awam boleh diumumkan dalam belanjawan akan datang.

Perkara itu disuarakannya kerana ia sesuatu yang tidak munasabah untuk mengharapkan produktiviti penjawat awam meningkat, namun kadar upah kekal rendah. – MalaysiaGazette